Presiden Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu (RUM) Abdul Razak Md Hassan mendakwa lima anggotanya yang diterima bekerja semula oleh majikan terpaksa menerima bayaran gaji lebih rendah.
Abdul Razak mendakwa, ia merupakan syarat dalam perjanjian persefahaman (MOU) yang ditandatangani anggota tersebut dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
“Memorandum yang RUM persetujui adalah yang menguntungkan kedua-dua pihak. Ini tidak kerana mereka yang menandatangani perjanjian itu perlu turun dua mata gaji.
“Jumlah dua mata gaji ini bergantung kepada jawatan yang disandang,” katanya kepada Malaysiakini, dan menambah ia melibatkan jumlah antara RM100 hingga RM200.
Menurut beliau lagi, seharusnya pihak KTMB mengembalikan pekerja terbabit ke jawatan asal tanpa syarat kerana tindakan industri yang dijalankan mereka tidak menyalahi tindakan undang-undang.
“Seharusnya pihak KTMB tidak menurunkan dua mata gaji sekiranya pekerja mengaku bersalah, kita tidak bersalah dan kenapa kita harus diturunkan mata gaji?
“Piket adalah hak kesatuan pekerja sebahagian dari aktiviti kesatuan pekerja, ia tidak melanggar mana-mana undang-undang.
"Dalam Seksyen 4 dan 5 (Akta Kerja 1955), piket adalah aktiviti kesatuan sekerja dan tindakan melarang berpiket ini adalah tindakan yang beniat jahat," katanya lagi.
Katanya lagi, RUM akan meneruskan piket sekiranya pihak pengurusan tidak dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera. [MK]