Bila dibicarakan perkara benar, maka yang menerima amat pahit, malah akan menjadi satu tamparan yang hebat, namun bagi mereka yang kononnya merasa tidak bersalah tidak akan merasa apa-apa pada wajah tersuratnya, maka secara tersuratnya ia akan membuat lapuran polis bahawa kenyataan secara terbuka itu mungkin dianggap fitnah atau menghina atau satu tomahan bagi menegakkan benang yang basah atau mungkin merupakan satu ugutan untuk menakut-nakutkan kami.
Bagi kepimpinan kesatuan sekerja pula, kita melahirkan kenyataan terbuka selepas rayu demi rayu, tegas demi ketegasan sudah dilakukan, maka tindakan selanjutnya mengeluarkan kenyataan yang lebih berani secara terbuka dalam apa jua bentuk media kerana ianya adalah sebahagian dari senjata yang ada sebelum tindakan perusahaan diambil maka ianya dianggap sebagai "aktiviti-aktiviti kesatuan sekerja".
Selagi "prinsip" mempertahankan Syarikat KTMB, Organisasi RUM, seluruh ahli-ahli RUM waima warga KTMB malah kepentingan pekerja seluruhnya termasuk kepentingan pengguna sedikit pun tiada rasa gentar, malah setiap cabaran itu akan diharungi dengan tabah dan penuh bersemangat, perjuangan tanpa rasa takut asalkan nawaitu menegakkan kebenaran, sebarang ugutan itu adalah satu permainan buat kami kepimpinan kesatuan sekerja.
Maka itu kami tetap berpendirian bahawa sebarang perkara yang melibatkan organisasi dan warga pekerja di bawah tanggungjawab kami, kami akan tentang abis-abisan, waima kami sendiri tergugur, gugur kami, gugur bermaruah, tidak sesekali bacul dengan mengambil kesempatan untuk kepentingan diri.
Semoga Allah Swt merahmati perjuangan kami menentang mereka yang zalim yang mengancam KTMB/RUM dan Warga KTMB demi periuk nasi kami.
Selamatkan KTMB, Selamatlah Pekerja.
Kenyataan Rasmi Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB