Dalam memastikan keadilan ekonomi lebih baik, MTUC juga mahu gaji minimum dinaikkan kepada RM1,500 manakala bayaran khas Cola RM300 diperkenalkan bagi pekerja-pekerja dalam kategori pendapatan B40 dan M40.
PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini menggariskan 13 perkara bagi memperbaiki nasib pekerja negara ini sempena sambutan Hari Pekerja 2017 termasuk gesaan supaya Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dipinda.
Badan induk pekerja itu menegaskan Akta KWSP harus dipinda bagi memastikan caruman pekerja dalam badan berkanun itu tidak dilabur dalam entiti-entiti yang mengeksploitasi pekerja dan mengancam pergerakan kesatuan sekerja.
Pada masa yang sama MTUC mahu KWSP menyemak semula kadar dividen yang diisytiharkan bagi tahun 2016.
“Kami telah mengemukakan fakta dan telah berkomunikasi dengan perdana menteri (mengenai perkara ini).
“KWSP adalah satu-satunya faedah persaraan yang ada bagi pekerja-pekerja sektor swasta. Oleh itu, dalam konteks kos sara hidup yang terus meningkat, para pekerja perlu diberi nilai yang sebenar semasa mereka bersara,” kata Setiausaha Agung MTUC, J. Solomon dalam perutusan sempena Hari Pekerja 2017 hari ini.
Hari Pekerja 2017 peringkat nasional membabitkan penyertaan kedua-dua sektor swasta dan awam akan disambut esok.
MTUC merujuk kepada kadar dividen KWSP bagi tahun 2016 yang diumumkan Februari lalu. Bagi tahun 2016, KWSP mengumumkan 5.70 peratus sedangkan tahun 2015 menyaksikan bayaran 6.4 peratus.
Kongres itu mendakwa KWSP yang mencatatkan pulangan yang lebih baik tahun lalu harus membayar kada dividen yang lebih baik berbanding 2015.
Dalam memastikan keadilan ekonomi yang lebih baik, Solomon berkata, MTUC juga mahu gaji minimum dinaikkan kepada RM1,500 manakala bayaran khas Cola RM300 diperkenalkan bagi pekerja-pekerja dalam kategori pendapatan B40 dan M40.
“Ini akan membantu mengatasi masalah kos hidup yang semakin meningkat,” kata beliau yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja Kebangsaan Bank.
Malaysia mempunyai 14 juta pekerja tempatan dan 5 juta pekerja asing.
Dalam perutusan tahun ini, MTUC juga menggesa agar undang-undang perburuhan semasa dikaji semula bagi memperkenalkan pendekatan yang lebih prakmatik bagi mencapai persekitaran budaya kerja yang lebih baik.
Selain itu kata Solomon, Tabung Pembangunan Sumber Manusia harus diperluaskan membabitkan kesemua sektor pekerja manakala Akta Pendidikan dipinda bagi memperkenalkan silibus undang-undang dan hak perburuhan di sekolah agar pelajar akan faham dan menilai pekerjaan apabila memasuki pasaran kerja kelak.
Katanya, MTUC juga mahu aspek perumahan mampu milik dan pinjaman perumahan pada kadar rendah yang munasabah disediakan dengan segera.
Kata beliau, MTUC mahu penglibatan rakan-rakan sosial diperkukuhkan untuk memudahkan inisiatif dalam menyelesaikan isu-isu pekerja demi mewujudkan suasana yang jauh lebih baik dan meningkatkan produktiviti.
“MTUC juga mahu kriteria pelantikan pengerusi Mahkamah Perusahaan dikaji semula. Mereka mesti dilatih dengan betul dalam undang-undang perindustrian dan Amalan dan Taraf Buruh Antarabangsa,” katanya.
Mengenai kemajuan teknologi, kata beliau, penggunaan teknologi baru harus diperkenalkan bagi membawa penambahbaikan kepada pekerja, bukannya membuang mereka.
“Kemajuan teknologi dan kesannya kepada kehidupan pekerja adalah menakutkan dan akan membawa bencana jika langkah-langkah untuk mewujudkan satu jaringan keselamatan tidak diambil dengan segera,” katanya.
Mengenai kesan buruk bergantung kepada pekerja asing, Solomon menambah, pekerja tempatan tidak boleh digantikan dengan pekerja-pekerja asing sebaliknya, garis panduan bagi memastikan majikan hanya menggaji pekerja asing dalam perspektif yang betul harus digubal.
“Di samping itu, pekerja asing haus diberi hak sama rata serta hak untuk menyertai kesatuan,” kata beliau.
Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/30/mtuc-garis-13-perkara-bela-pekerja-tuntut-dividen-kwsp-lebih-baik/