Alhamdulillah tiada banyak isu yang berlaku sepanjang enam bulan terakhir 2018, cuma 6 bulan pertama 2018 yang ada ialah kerisauan mengenai RNAA yang cuba dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan terdahulu.
Hubungan dengan pengurusan KTMB dalam kategori baik setelah Pengurus Besar Sumber Manusia digantikan dengan yang baru, banyak isu-isu
berjaya diselesaikan.
RNAA masih kekal setelah ditandatangani oleh Mantan Lembaga Pengarah, malah usaha-usaha kearah merealisasikan tetap akan berlaku, pihak Perbadanan Aset Keretapi (RAC) pasti akan mengunakan dokumen RNAA sebagai dasar untuk merancang hala tuju RAC, kerana itu adalah dasar yang telah dipersetujui oleh Lembaga Pengarah KTMB, pihak-pihak yang berkepentingan akan mengatakan bahawa RNAA telah pun ditandatangani kami tidak boleh buat apa-apa, satu ungkapan yang merepek.
Syukur pertemuan dengan Yb Encik Anthony Loke Menteri Pengangkutan telah memberi sedikit ruang untuk menilai dan mengkaji RNAA, malah dalam kenyataannya akan menjemput RUM terlibat dalam perbincangan, ini satu perkembangan sihat, kerana ruang perbincangan telah terbuka.
RUM juga rasa bersyukur bilamana semua Lembaga Pengarah KTMB telah melepaskan jawatan, sekurang-kurang idea-idea beku telah tiada lagi dalam KTMB, harapan kita Lembaga Pengarah yang baru nanti akan hadir dengan idealisma baru yang memangkin KTMB kearah yang lebih cemerlang.
Tidak dinafikan dalam tahun 2018, tiada sebarang pembaharuan dari segi perniagaan KTMB, kedudukan KTMB boleh dianggap masih mendatar, ini sesuatu yang tidak sihat yang perlu dipandang serius demi kelansungan perniagaan KTMB, sistem atau takuk lama masih terus berlegar tanpa ada sebarang perancangan jitu, kalau ada mungkin RUM tidak diberi penjelasan, namun dari pemantauan ianya tetap kekal mendatar.
2018 juga menyaksikan berita kesedihan Mantan Setiausaha Cawangan Allahyarham Baharuddin dan Naib Presiden RUM Allahyarham Roslan telah kembali kerahmatullah, satu kehilangan bagi kepimpinan RUM, semoga Allahyarham ditempatkan dengan orang-orang yang beriman.
Isu-isu lain dalam tahun 2018 ialah penglibatan RUM mencabar pihak-pihak tertentu hingga ke Mahkamah Tinggi, ianya demi kebaikan organisasi RUM dan seluruh warga KTMB dari mereka yang berkepentingan dan menjejaskan perpaduan RUM, sikap mereka yang berniat tidak baik boleh merosakan perpaduan RUM, segelintir ini adalah pengkianat kepada organisasi RUM, kerana mereka tidak sedar apa itu "KULI dengan MAJIKAN" mereka tidak sedar apa yang berlaku siapakan yang dapat labanya?
Alhamdulillah Perjanjian Bersama ke 9 telah pun dihantar kepada pihak Pengurusan bagi menuntut penambahbaikan faedah-faedah untuk pekerja bukan eksekutif KTMB, kita harap rundingan segera dapat diadakan.
Hubungan Solidariti antara Kesatuan Keretapi di peringkat asean dan asia pacific kini bertambah erat, hubungan ini akan menjalinkan satu kekuatan solidariti untuk menjaga kepentingan pekerja keretapi dan organisasi keretapi dan kesatuan sekerja itu sendiri.
Apapun secara keseluruhan 2018 berada dalam situasi keharmonian perusahaan, hubungan baik antara RUM dan CEO KTMB sentiasa terjalin, hubungan ini kekal untuk memastikan kebaikan produktiviti KTMB dapat ditingkatkan malah keharmonian perusahaan sentiasa menjadi pegangan Railwaymens Union Of Malaya.
Kenyataan Rasmi Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB.