07 September 2016

BEZA PENJAWAT AWAM & PEKERJA SWASTA

1. BEZA PENJAWAT AWAM & PEKERJA SWASTA
2. PENTINGNYA KESATUAN SEKERJA
3. PEKERJA/MAJIKAN/KERAJAAN

Ramai yang marah apabila GAJI MINIMA antara Penjawat Awam dan Pekerja Swasta berbeza atau mungkin lain-lain faedah berbeza, penjawat awam dapat lebih dari sektor swasta, tapi ada juga sektor swasta yang dapat lebih dari sektor awam, sebagai contoh pekerja swasta mampu dapat bonus 3 hingga 5 bulan tapi penjawat awam hanya dapat RM 1,000.00 sahaja atau maksimanya berdasarkan track record yang ada tidak lebih dari satu bulan gaji. Ada gaji di sektor swasta lebih tinggi dari penjawat awam, malah KTMB sendiri sebagai sektor swasta banyak ketinggalan dari sektor awam dari sudut gaji bulanan dan elaun, sedangkan KTMB taukeynya tetap kerajaan.

RUM sedikit pun tidak marah, sebab RUM faham perjuangan CUEPACS untuk ahli-ahli gabungannya antara Kesatuan Sekerja (CUEPACS) dengan Majikannya  (KERAJAAN MALAYSIA) kat sinilah berbeza antara syarikat swasta yang taukeynya dinamakan A, B atau C manakala penjawat awamnya taukeynya kerajaan Malaysia.

Andaikata pekerja swasta berkeinginan lebih baik, maka wujudkan kesatuan sekerja di syarikat masing-masing berjuang melalui perjanjian bersama, baru faedahnya dapat ditingkatkan.

Manakala sekiranya melibatkan seluruh pekerja swasta berkeinginan lebih baik atau sama dengan sektor awam (penjawat awam) yang perlu memainkan peranan ialah Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) peranan MTUC sangat besar sekiranya diolah dengan baik dan gabungan kesatuan sekerja dapat ditingkatkan dengan lebih banyak merangkumi semua syarikat yang wujud di Malaysia, perpecahan dalam MTUC boleh menghakibatkan seluruh pekerja di negara ini menjadi mangsa.

Maka MTUC perlu mengerakkan langkah bagaimana nak meningkatkan faedah melalui pindaan Akta Kerja, MTUC perlulah bijak menyusun langkah dengan lebih tepat agar pekerja swasta dapat menikmati faedah yang lebih baik, pada RUM penghalang tradisi MTUC sebenarnya ialah Malaysian Employers Federation (MEF).

Jadi kita harus berfikiran terbuka untuk membezakan antara penjawat awam dan pekerja swasta, bukannya terus meletakkan kesalahan pada kerajaan kerana kerajaan adalah majikan kepada penjawat awam, wajarlah majikan menjaga pekerjanya untuk memberi faedah yang lebih baik.

Kita pula kesatuan sekerja wajar juga melihat kantung (kewangan) syarikat, dalam masa yang sama mesti berani menegur syarikat yang tidak benar-benar mencari peluang perniagaan atau tidak bersungguh-sungguh memajukan syarikat, kerana implikasinya kepada pekerja dari sudut penyemakan gaji khususnya melibatkan Perjanjian Bersama, malah kegagalan pengurusan boleh menghakibatkan pembuangan pekerja, kebiasaannya pekerja sentiasa jadi mangsa.

Masalah sebenarnya ialah Majikan, ada majikan baik, ada majikan yang macam Haji Bakhil, ada juga majikan anggap pekerja "hamba", ada juga majikan beranggapan pekerja "aset", ini lumrah sikap yang ada pada manusia.

Sebagai kesatuan sekerja pula perlu bijak menanggani majikan yang baik dengan majikan yang tidak baik, kalau nak harap undang-undang, al maklumlah.. undang-undang ni kadang-kadang menyempitkan, maka cara yang terbaik mengajar majikan yang tidak baik hanya menerusi kekuatan, sejauh mana kekuatan mampu dilakukan?

Kerajaan pula akan memikirkan dari semua sudut termasuk kehendak Malaysian Employers Federation (MEF), cuma kadang-kadang kerajaan terikut rentak MEF, MEF juga bijak dalam menyusun langkah, maka kita pula sebagai pejuang kaum pekerja perlu memikirkan bagaimana mengatasi langkah MEF dan Kerajaan.

Sewajarnya kerajaan juga perlu "berhati perut" dalam membantu pekerja swasta, kerana mereka juga penyumbang kepada ekonomi negara bukannya mendengar  dan menyokong sebelah pihak iaitu MEF atau mungkinkah kerajaan tidak mahu mendengar keluhan kaum pekerja melalui MTUC berdasarkan MTUC tiada kekuatan atau sebab-sebab yang tidak diketahui.

Dari aspek politik, kerajaan sewajarnya mendengar keluhan pekerja, kerajaan yang memerintah yang gagal menjaga kepentingan pekerja akan menghadapi masalah kerana pekerja adalah rakyat Malaysia yang menentukan siapakah kerajaan memerintah melalui pilihanraya umum.

Sebenar dalam apa perkara pun yang melibatkan perjuangan ialah bersatu padu diakhiri dengan kekuatan, sekiranya tiada kekuatan (kekuatan dari semua sudut) maka jangan haraplah nak mencapai "bintang dilangit".

Pokoknya perjuangan untuk pekerja datangnya dari Kesatuan Sekerja, maka itu Kesatuan Sekerja sangat penting kerana Kesatuan Sekerja adalah pelindung kaum pekerja.

Kenyataan Rasmi Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB