05 Mei 2017

KENYATAAN AKHBAR: PERTEMUAN DENGAN YB MENTERI PENGANGKUTAN

4hb Mei 2017 Pertemuan dengan YB. Dato’ Sri Liow Tiong Lai, Menteri Pengangkutan Malaysia dengan pihak Kesatuan telah berjalan dengan harmoni, turut hadir bersama dalam pertemuan tersebut ialah YB Datuk Ab Aziz Kaprawi, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, YBhg. Datuk Seri Hj. Saripuddin Bin Hj. Kasim, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Perbadanan Aset Keretapi (RAC), PEMANDU dan Pegawai Kanan KTMB, bagi pihak Kesatuan diwakili oleh kepimpinan tertinggi Kesatuan Pekerja – Pekerja KTMB (KPPKTMB).

YB Menteri dalam mukadimahnya telah menjelaskan ianya sebagai Plan Transformasi KTMB yang mana niat Kerajaan adalah untuk membantu KTMB supaya mencapai keuntungan, dengan Plan Railway Network Access Agreement (RNAA) ini maka KTMB boleh beroperasi dengan lebih efektif lagi.

Pihak Kesatuan dalam mukadimahnya telah menjelaskan bahawa implikasi kepada Railway Network Access Agreement (RNAA) mewujudkan KTMB dikecilkan dari sudut carta organisasinya yang mana-mana jabatan – jabatan akan diambilalih oleh Perbadanan Aset Keretapi (RAC) berdasarkan kononnya semua harta adalah milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC).

Pihak Kesatuan turut menjelaskan kewujudan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) adalah sebagai pemegang amanah berdasarkan KTMB telah diswastakan pada 1hb Ogos 1992 manakala aset telah dipindahmilik kepada Perbadanan Aset Keretapi (RAC) berdasarkan pindaan Akta Keretapi 1991 namun melalui Warta Kerajaan ketika itu semua aset diserahhak kembali kepada KTMB tanpa pemilikan hak.

Kini melalui Plan Railway Network Access Agreement (RNAA) yang dijadualkan akan dilaksanakan oleh KTMB akan menyaksikan semua aset dikembalikan kepada Perbadanan Aset Keretapi (RAC) manakala KTMB hanya berperanan sebagai pengendali atau operator, semua aset yang dikembalikan kepada Perbadanan Aset Keretapi (RAC) akan disewa kembali kepada KTMB. Harus disedari bahawa RAC tidak mempunyai kepakaran dalam industri keretapi, maka jalan yang ada ialah mengoutsorcekan semua jabatan keretapi yang telah diserahhak kepada Perbadanan Aset Keretapi (RAC), tindakan sedemikian adalah satu idea miskin yang tidak mencerminkan Plan Teansformasi ke arah kreatif dan berinovasi, cadangan ini juga menimbul implikasi yang besar kepada Pekerja/KTMB malah dari sudut perkhidmatan sosial dan kepentingan negara Malaysia itu sendiri. Kesatuan juga dalam penjelasannya menjelaskan perbezaan KTMB dan PRASARANA dari banyak sudut serta melahirkan KTMB dianaktirikan.

Pihak Kesatuan menekankan bahawa semua yang ada beroperasi seperti biasa dan strategi perniagaan diperluaskan malah dari sudut kendalian penyenggaraan "Maintenance, Repair & Overhaul" (MRO) dilakukan oleh KTMB sendiri kerana KTMB mempunyai tenaga pakar malah usaha perpindahan teknologi perlu diperkemaskan agar KTMB mampu mengeluarkan produknya sendiri antara pandangan Kesatuan Pekerja – Pekerja KTMB (KPPKTMB) rombakan perlu dilakukan terhadap pengurusan KTMB dari sudut struktur organisasinya malah Kesatuan Pekerja – Pekerja KTMB (KPPKTMB) mencadangkan kepakaran luar perlu diambil bagi memperkemaskan pentadbiran dan pengurusan KTMB.

YB Menteri pada dasarnya bersetuju dengan pandangan Kesatuan Pekerja – Pekerja KTMB (KPPKTMB) dan merumuskan untuk mengkaji semula dengan membuat bengkel yang akan melibatkan RUM bersama Pemandu dan KTMB, bengkel ini bagi mencari solusi terbaik bagi membantu KTMB dalam memastikan KTMB mampu berkembang dan memperolehi keuntungan, dijangka bengkel tersebut akan diadakan pada bulan Ogos tahun ini.

Pihak Kesatuan pada dasarnya bersetuju dengan cadangan YB Menteri dan bersedia memberi kerjasama namun dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja yang bersidang pada hari ini telah memutuskan bahawa Railway Network Access Agreement (RNAA) “hendaklah dibatalkan” terlebih dahulu sebelum satu bengkel bagi mewujudkan idea yang lebih baik dari Railway Network Access Agreement (RNAA), pihak Kesatuan bersedia memberi kerjasama demi kebaikan KTMB seterusnya bersama Kerajaan untuk Plan Transformasi baru KTMB yang lebih berkesan demi kebaikan rakyat dan negara, surat Kesatuan mengenai perkara ini akan menyusul kepada YB Menteri Pengangkutan.

Sekali lagi kami kepimpinan Kesatuan merakamkan ribuan terima kasih kepada YB Menteri kerana membuka ruang perbincangan seterusnya bersetuju untuk mewujudkan bengkel yang melibatkan kepimpinan Kesatuan dalam Plan Transformasi yang lebih baik dari Railway Network Access Agreement (RNAA).

Sekian, terima kasih.
Yang menjalankan tugas,

(ABDUL RAZAK BIN MD HASSAN)
Presiden
Kesatuan Pekerja – Pekerja KTMB
012 - 3073731

"SELAMATKAN KTMB, SELAMATLAH PEKERJA"