10 Ogos 2018

BENGKEL PERJANJIAN BERSAMA (CA) KE 9

Bengkel CA 9 akan diadakan bermula pada 12/8/2018, ianya adalah proses terakhir untuk menyediakan Draf Perjanjian Bersama ke 9 yang akan diserahkan kepada pengurusan KTMB mengikut peruntukan dalam artikel CA dimana pihak kesatuan boleh mengantar Draf CA seawal 1 Okt 2018 sebelum berakhirnya CA 8 iaitu pada 31 December 2018.

Proses Bengkel CA ini adalah satu bentuk simulasi yang mana wakil pekerja akan mengemukakan tuntutan dan berhujah dengan pihak pengurusan, pihak pengurusan dalam simulasi ini akan diwakili oleh Pegawai Utama yang dipimpin oleh Sdr Mokhtar Timbalan Presiden, kedua-dua pihak akan berdebat dengan hujah-hujah untuk memastikan tuntutan yang dibuat adalah munasabah dan mempunyai fakta yang kukuh agar cadangan yang dibawa boleh diangkat untuk dimasukkan dalam draf Perjanjian Bersama ke 9.

Jawatankuasa Penilai akan menentukan samada cadangan yang benar-benar mempunyai fakta dan hujah akan membuat rekemendasi kepada Majlis Exco untuk kelulusan dan diangkat sebagai Draf CA 9, Jawatankuasa Penilai diketuai Sdri Suraya Pen. Bendahari Agung manakala jawatankuasanya adalah terdiri satu (1) Pengerusi Cawangan , satu (1) Setiausaha Cawangan, dua (2) Ahli Majlis Eksekutif dan (2) ahli biasa, jawatankuasa ini tidak boleh dipengaruhi demi memastikan penerimaan cadangan berdasarkan hujah-hujah yang dibentangkan.

Presiden dan Setiausaha Agung tidak akan terlibat dalam simulasi ini dengan tujuan memberi kebebasan berhujah, kedua-duanya akan bertindak sebagai penasihat bagi memastikan simulasi ini berjalan dengan lancar dan teratur.

Kebaikan kepada simulasi ini adalah untuk melahirkan teknik perbincangan yang berkesan dikalangan peserta,  diperingkat ibu pejabat akan mendapat input untuk mengukuhkan hujah dalam perbincangan CA 9 dengan pihak pengurusan malah disini dapat melahirkan pemimpin-pemimpin muda yang bijak dalam berhujah serta mengetengahkan isu-isu pekerja seterus mampu melahirkan solusi yang baik.

RUM berharap proses ini akan berjalan lancar demi memastikan faedah ahli dapat ditingkatkan seiring dengan kadar kos sara hidup yang meningkat, kita RUM sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk ahli-ahlinya.

Kenyataan Rasmi Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB