09 September 2015

PERTIMBANGKAN PENCEN MINIMA PADA PESARA PENGSWASTAAN. CORETAN UNTUK

YAB DATO SRI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK PERDANA MENTERI MALAYSIA
Aku ingin berbicara mengenai "pencen minima" berdasarkan pengalaman sendiri.

Sejujurnya aku tidak sama sekali bersetuju dengan penswastaan KTMB, tapi sebagai pekerja, aku akur, maka pilihan yang aku buat ialah pilihan "B", bersetuju dengan penswastaan. 

Itulah pengalaman aku sebelum KTM diswastakan, maka 1.8.1992 aku telah berkhidmat dengan KTMB dengan menerima kenaikan sebanyak 10% dan tambahan gaji sebanyak 2 mata gaji, iaitu lebih baik dari Syarikat yang lebih awal terlibat dengan penswastaan malah lebih baik dari kakitangan awam. Ketika itu aku hanya ahli RUM atau ahli biasa sahaja.

Kini aku Presiden RUM, umur ku sudah melangkaui 52 tahun, faedah persaraan (wang pencen) yang aku terima dari penswastaan ialah RM 230.00, anggaran simpanan KWSP selepas bersara anggarannya antara RM 70.000 - RM 100,000.00.

Aku faham bila swasta kita menerima faedah melalui KWSP, tapi faedah melalui KWSP terlalu kecil disebabkan kadar potongan KWSP yang sedikit kerana gaji yang kecil.

Alasan Kerajaan adalah kerana adanya KWSP, bila diswastakan, tapi sedarlah dengan simpanan KWSP yang kecil, hutang yang ada, pencen yang tidak mencukupi, maka apa kah kehidupan yang ada selepas bersara?

Pertemuan dengan YAB DATO SRI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK PERDANA MENTERI MALAYSIA 4 tahun yang lalu mengenai pencen minima telah saya hujahkan melalui satu pertemuan bersama dengan UNI-GLOBAL, iaitu "pekerja KTM akur dengan kehendak Kerajaan, walaupun kami tidak bersetuju dengan penswastaan", YAB DATO SRI PERDANA MENTERI mencatitkan dalam buku nota, tapi selepas 4 tahun, pencen minima untuk pekerja yang terlibat dengan penswastaan tetap tidak berlaku.

Nilai RM 230.00 selepas bersara, kehidupan hari tua dengan kos sara hidup yang tinggi, apa yang boleh kami lakukan untuk menyambung sisa kehidupan? adakah kami rela dengan penswastaan? "kami tak rela", tapi "kami akur", walaupun kami rugi, gaji atau upah berbanding dengan "penjawat awam" bagi pekerja KTMB kini adalah rendah, tapi kami tetap memberi perkhidmatan, kerana kami sedar kami di bawah perkhidmatan sosial, memberi perkhidmatan kepada rakyat, dari kami sebagai wakil kerajaan untuk kesejahteraan rakyat melalui pengangkutan awam di bawah "perkhidmatan perlu".

Hari ini aku Presiden RUM, aku memahami masalah mereka yang terlibat dengan penswastaan berdasarkan pengalaman aku sendiri, bukan sahaja KTMB tapi semua syarikat yang diswastakan, pengalaman menjadikan aku terus untuk berjuang bagi memastikan kehidupan rakan-rakan yang terlibat dengan pengswataan agar selepas persaraan terjamin kehidupan.

Tapi adakah kerajaan menyedari perkara ini? Adakah ini kehendak kami? maka aku menulis bagi pihak semua yang terlibat di bawah penswastaan, kerana aku amat memahami kehendak mereka, kerana ramai yang bertanyakan mengenai perkara ini, justeru itu aku menulis coretan ini.

Maka selaku Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB, saya bagi pihak semua rakan yang telah dibersarakan atas sebab pengswastaan memohon dan merayu pada YAB DATO SRI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK PERDANA MENTERI MALAYSIA mempertimbangkan kadar "PENCEN PERSARAAN" untuk pekerja yang diswastakan seperti "PENCEN MINIMA" kepada pesara penjawat awam. Sebagai pemimpin kesatuan sekerja, saya berharap melalui pembentangan bajet akan datang Kerajaan akan mempertimbangkan kadar "PENCEN MINIMA" untuk kami yang telah diswastakan.

Kasihani kami, kami juga perlu kehidupan selepas bersara, fahami kami, kerana kami tidak pasti dengan kadar yang ada untuk meneruskan kehidupan selepas kami bersara.
Sekian, Terima kasih.

Kenyataan Rasmi Presiden Kesatuan Pekerja2 KTMB