BERITA BAIK TERKINI & PENTING
PERKHIDMATAN TREN KTM BERHAD KEMBALI PULIH SEPENUHNYA
30 November 2017 (Khamis) – KTM Berhad ingin memaklumkan bahawa operasi tren KTM Berhad bagi perkhidmatan ETS laluan Sektor Utara dan Sektor Selatan, juga perkhidmatan KTM Komuter Sektor Lembah Klang telah kembali beroperasi seperti biasa bermula pada jam 8.35 malam, hari ini.
Tempoh masa kembali pulih ini telah berjaya diperolehi lebih awal dua (2) hari dari jangkaan sebelum ini iaitu pada 3 Disember 2017 (Ahad), walaupun menghadapi kesukaran dari faktor cuaca di ibu negara yang tidak menentu yang telah mengganggu kelancaran jadual kerja dan kedudukan beberapa gerabak yang tergelincir terletak di dalam terowong juga stesen Bank Negara menyukarkan lagi kerja-kerja pengalihan gerabak kontena kargo yang terlibat.
Perkhidmatan tren telah terganggu berikutan kegelinciran 12 gerabak tren Kargo yang membuat perjalanan menuju ke arah Selatan di km 386.00, antara laluan Stesen Bank Negara – Stesen Kuala Lumpur pada jam 2.58 pagi, 23 November 2017 (Khamis) yang lalu. Insiden ini telah menyebabkan kedua-dua landasan keretapi terpaksa ditutup sementara di antara laluan Stesen Kepong - Stesen KL Sentral, bagi memberi laluan kepada kerja-kerja baik pulih dijalankan.
Sepanjang tempoh masa kerja-kerja baik pulih giat dijalankan pada tujuh (7) hari yang lalu, bermula 23 November 2017 (Khamis) hingga 30 November 2017 (Khamis), bilik gerakan telah ditubuhkan di lokasi kegelinciran untuk merancang pelan kerja-kerja baik pulih dan memantau progres setiap hari sehingga perkhidmatan pulih sepenuhnya berjaya dicapai lebih awal pada hari ini. Selain itu, kakitangan tambahan juga disediakan untuk bertugas di stesen-stesen utama bagi membantu memudahkan pergerakan para penumpang dan pengangkutan alternatif juga disediakan untuk pemindahan penumpang supaya para penumpang dapat meneruskan perjalanan ke destinasi yang dituju dengan selamat. Kerja-kerja baik pulih telah dilakukan 24 jam sehari demi memastikan perkhidmatan tren dapat beroperasi semula untuk kemudahan dan keselesaan para pengguna perkhidmatan KTM Berhad.
“Syukur ke hadrat Ilahi kerana perkhidmatan tren KTM Berhad telah beroperasi seperti biasa lebih awal dari jangkaan. Tahniah dan syabas kepada semua kakitangan KTM Berhad yang terus menerus bekerja tanpa mengenal erti penat lelah dan sanggup mengorbankan masa bersama keluarga, untuk bertugas demi memastikan kerja-kerja baik pulih dapat dijayakan dengan segera dan kebajikan para penumpang terus terjaga sepanjang tempoh perkhidmatan yang terjejas ini. Dikesempatan ini juga, kepada para pengguna perkhidmatan KTM Berhad, saya bagi pihak KTM Berhad ingin memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan mengucapkan ribuan terima kasih atas kesabaran anda semua.” kata Encik Mohd Rani Hisham Samsudin, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), KTM Berhad.
Tambah beliau lagi, “Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak kerajaan, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), dan lain-lain pihak seperti Prasarana dan MRT atas kerjasama dan juga sokongan yang diberikan kepada KTM Berhad sepanjang tempoh ini, yang telah memudahkan dan membantu kelancaran kerja di pihak kami. Selain itu, siasatan terperinci berkaitan insiden kegelinciran ini masih diteruskan lagi. Kami berharap dapat mengetahui punca sebenar berlakunya kejadian ini dan seterusnya menyediakan langkah-langkah pencegahan dan tindakan proaktif untuk mengelakkan perkara seperti ini berlaku lagi di masa akan datang. Keselamatan dan keselesaan penumpang adalah keutamaan KTM Berhad”.
KTM Berhad sekali lagi memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku dan terima kasih diucapkan kepada para penumpang di atas kesabaran dan juga sokongan untuk terus setia menggunakan perkhidmatan tren kami.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman twitter rasmi KTM Berhad di @ktm_berhad atau hubungi Pusat Panggilan KTM Berhad di 03-2267 1200.
01 Disember 2017
Home »
» PERKHIDMATAN TREN KTM BERHAD KEMBALI PULIH SEPENUHNYA
PERKHIDMATAN TREN KTM BERHAD KEMBALI PULIH SEPENUHNYA
Jumaat, Disember 01, 2017