28 Mac 2016

PLAN TRANSFORMASI PERBADANAN ASET KERETAPI (PAK)

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja yang bersidang pada 25.3.2016 memutuskan "MEMBANTAH PLAN TRANSFORMASI PERBADANAN ASET KERETAPI" antara lain hasrat PAK adalah untuk mengambilalih semua jentera (Lokomotif, ETS, SCS, OMC dll), hasrat ini akan mengecilkan KTMB yang hanya menjalankan kerja-kerja operasi sahaja, malah KTMB akan menyewa kembali jentera dan infrastruktur yang dimiliki oleh KTMB sebelum ini kepada PAK. PAK hanya sebuah agensi untung atas angin.

Implikasi kepada cadangan ini sangat teruk, sehingga boleh berlaku pembuangan kerja kepada pekerja-pekerja KTMB malah pihak RUM berkeyakinan bahawa Keretapi Tanah Melayu hanya akan tinggal nama, melalui persaingan yang akan diwujudkan iaitu "gunasama landasan", apatah lagi OMC (jantung KTMB) di ambilalih oleh PAK".

Hasrat "tersirat" amat diragui, tindakan yang tidak boleh dibenarkan, RUM telah memutuskan bahawa beberapa siri tindakan yang dibenarkan oleh undang-undang akan diambil sehingga PAK menghentikan hasrat ini.

RUM yakin dan percaya bahawa YBhg Dato Haji Sarbini Bin Tijan Presiden KTMB yang juga "warga KTMB" melalui Plan Transformasi KTMB mampu mengembalikan kegemilangan KTMB. RUM juga berkeyakinan YB Dato Ir Nawawi Ahmad Pengerusi Lembaga Pengarah KTMB dan semua Lembaga Pengarah KTMB sentiasa memberi komitmen yang tinggi demi nenjaga KTMB sebagai khazanah negara.

Pihak RUM akan menghantar memorandum kepada YAB DATO' SERI HAJI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK PERDANA MENTERI MALAYSIA memohon usaha PAK dihentikan dan mencadangkan PAK dikembalikan kepada pentadbiran KTMB.

Kenyataan Rasmi Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB