04 Januari 2015

KTMB alami kerosakan serius

BATU PAHAT – Perkhidmatan kereta api di Kelantan dijangka tidak akan beroperasi selama setahun kerana Kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengalami kerosakan serius akibat banjir.

Perkhidmatan berkenaan termasuklah, kereta api antarabandar dan daripada negeri lain, yang mana ianya terganggu dan kerajaan sedang mentaksirkan jumlah kerugian sebenar.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, daripada siasatan dan kiraan awal pihaknya bersama KTMB, jumlah kerugian di negeri berkenaan mencecah RM100 juta.

Katanya, kerosakan serius membabitkan landasan kereta api, jambatan serta beberapa stesen yang telah ditenggelami air, di mana ada beberapa peralatan turut mengalami kerosakan, selain beberapa gerabak kereta api.

“Kami menganggarkan perkhidmatan terganggu selama setahun untuk kerja baik pulih.

“Saya harap rakyat di negeri Kelantan yang menjadikan kenderaan berkenaan sebagai pengangkutan utama dapat bersabar dan menggunakan alternatif lain,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semasa Program Jom Gunting Rambut Pelajar Sekolah Secara Percuma, di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rahmat, semalam.

Menurutnya, selain kerosakan landasan yang begitu serius hampir di keseluruhan negeri, jambatan turut mengalami kerosakan hampir sama, menyebabkan landasan terputus hubungan.

“Paling teruk, jambatan di Kemubu di mana ranap dan musnah akibat dihentam kayu balak yang dibawa arus.

“Dalam membaiki kerosakan berkenaan, pihak KTMB dan kementerian akan berusaha untuk melaksanakannya dengan sebaik yang mungkin, dan sepantas yang boleh, kerana kereta api merupakan pengangkutan penting di sini.

“Kita jangka setahun, namun jika boleh beroperasi awal dari jangkaan, pihak kami akan maklumkan,” katanya. [SH]