Tahun 2014 telah berlalu dengan penuh cabaran, Alhamdulillah kita berjaya mengharunginya dengan tabah dan terus bersemangat, kekuatan mental kita menjadikan kita tetap terus mengekalkan semangat perjuangan demi ahli-ahli, pekerja, RUM dan KTMB.
Tahun 2015, pengharapan kita sangat tinggi, kemelut RUM yang berlarutan, mudah-mudahan dapat diselesaikan sepenuhnya, kita perlu melihat ke hadapan bagi memastikan hak kita selaku pekerja, RUM terus terpelihara dan KTMB terus dipulihkan, walaupun kita menyedari bahawa "BAH BESAR" akan melibatkan kerugian besar dari segi pembaikpulihan landasan dan pemberhentian perkhidmatan malah risiko besar kepada pekerja di sektor di Pantai Timur.
Kita mengharapkan bantuan segera dari Kerajaan untuk membantu KTMB melalui peruntukan segera demi memastikan perkhidmatan tren Pantai Timur boleh beroperasi seperti biasa demi memastikan kesinambungan tugas pekerja KTMB seterusnya memberi perkhidmatan sosial untuk Rakyat di Pantai Timur.
Tahun ini, proses pembikinan "Draf Perjanjian Bersama" akan dilakukan untuk maksud penyerahan "Draf Perjanjian Bersama" seperti yang termaktub pada Perjanjian Bersama penyerahan "Draf Perjanjian Bersama" ialah 1 Oktober 2015, maka itu ahli-ahli adalah diharapkan dapat menyumbangkan idea untuk penambahbaikan Perjanjian Bersama yang ke 8 dengan cetusan - cetusan idea baru.
Dalam awalan selepas Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan yang ke 12, maka tahun ini beberapa siri perancangan kesatuan ialah melaksanakan kursus berbentuk pendidikan kesatuan sekerja iaitu kursus untuk semua Pengerusi/Setiausaha Cawangan, Majlis Exco dan Ahli Jawatankuasa Cawangan bagi menambah pengetahuan dalam bidang Kesatuan Sekerja, perancangan sedang dibuat bagi memastikan pengetahuan pemimpin RUM di peringkat cawangan dalam mengukuhkan pengetahuan berbentuk pendidikan undang-undang, keselamatan, peningkatan semangat juang, kesedaran, keperluan dan kehendak berdasarkan perubahan persekitaran.
Dalam masa yang sama kita juga berkeyakinan bahawa kita berkemungkinan menerima peneraju baru bagi mengurus tadbir KTMB, kita mengharapkan pengurusan baru nanti mampu menjalinkan hubungan keharmonian perusahaan seterusnya mampu menjanakan cetusan idea baru bagi tujuan memulihkan KTMB.
Matlamat perjuangan kita untuk meningkatkan "GAJI MENGIKUT PASARAN" adalah matlamat utama dalam perjuangan bagi memastikan taraf kehidupan pekerja-pekerja KTMB dapat mengharungi kehidupan yang semakin mencabar.
RUM sebagai Suara Pekerja Bukan Eksekutif akan terus memainkan peranannya secara pro aktif dalam memastikan nasib pekerja bukan eksekutif terus terbela, malah akan terus berjuang mempertahankan KTMB dari mana-mana pihak yang berhasrat untuk merosakkan KTMB.
Harapan RUM kepada Kerajaan khususnya YAB DATO SRI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK PERDANA MENTERI MALAYSIA akan terus membantu KTMB dalam meningkatkan keupayaan KTMB sebagai sebuah badan pengangkutan awam yang terus bersaing dan berdaya maju dengan membantu menyuntik kewangan bagi memastikan jentera seperti Lokomotif, EMU, Koc, Wagon PGC dan Landasan dapat dibaikpulih serta pembelian aset - aset baru dengan tujuan KTMB mampu memberi perkhidmatan yang baik kepada pengguna.
Kita juga mengharapkan bahawa landasan - landasan baru bagi menggantikan landasan lama di Pantai Timur dapat disegerakan.
RUM akan terus bersama memberi sokongan kepada Kerajaan Memerintah khususnya YAB Dato Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak Perdana Menteri Malaysia dalam memastikan KTMB menjadi pengangkutan awam yang terbaik.
RUM akan memberi sokongan kepada Pengerusi Lembaga Pengarah KTMB dan sesiapa Presiden Baru KTMB serta akan menjalinkan hubungan yang baik berlandaskan prinsip Keharmonian Perusahaan serta akan kekal sebagai "watch dog" bagi memastikan tiada kelemahan perancangan, pembaziran, penyalahgunaan kuasa atau sebarang bentuk penyelewengan demi memastikan KTMB sebagai sebuah syarikat yang bersih dan berintegriti.
Semoga Tahun Baru 2015 ini akan memberi satu cahaya perubahan dan pemulihan landskap yang berstatuskan pembaharuan.
RUM akan terus berusaha dan berusaha memastikan hak yang ada terus terpelihara selanjutnya meningkatkan faedah yang lebih baik kepada golongan pekerja eksekutif.
In Syaa Allah tahun 2015 akan menjadikan kita kaum pekerja terus kuat, kukuh dalam meniti arus perjuangan.
Semoga dan harapan RUM terus kekal sebagai sebuah Kesatuan Sekerja Elit di Negara ini.
Semoga Allah Swt merahmati perjuangan kita....
THIS IS RAILWAYMEN UNION OF MALAYA
SELAMAT TAHUN BARU 2015
Kenyataan Rasmi Kesatuan Pekerja2 KTMB