02 Januari 2015

Pandangan, Kritikan dan Harapan saya terhadap Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)


Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak KTMB atas perancangan membeli 10 set coach Electric Train Service (ETS) yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Butterworth dalam masa tiga jam. Menurut Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Nawawi Ahmad, keretapi set baru yang dibeli dari syarikat China, CSR Zhuzhou Electric Locomotive Co (CSR ZELC) dijangka mula beroperasi pada Jun 2015. Tiga set akan memulakan perjalanan mereka pada laluan KL-Butterworth pada bulan Jun 2015. Tujuh akan digunakan secara berperingkat menjelang Januari 2016. Keretapi ETS ini mampu bergerak pada kelajuan 160 kilometer sejam dengan model keretapi sekarang hanya dengan kelajuan 140 kilometer sejam. Unit-unit baru akan dibawa ke Malaysia bermula bulan depan dan mereka akan diuji oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Semua ini adalah sebahagian daripada usaha yang lebih besar untuk menghubungkan Kuala Lumpur ke Padang Besar melalui projek landasan berkembar elektrik. Sekarang ini pun, kita sudah ada keretapi ETS yang mnghubungkan Kuala Lumpur dengan Ipoh dalam masa 1 jam 30 minit. Syabas sekali lagi saya ucapkan kepada pihak KTMB atas usaha anda meningkatkan taraf perkhidmatan ke tahap lebih selesa dan cekap.

Umum mengetahui salah satu faktor kepada kepesatan pertumbuhan ekonomi negara-negara maju adalah jaringan sistem pengangkutan yang cekap, cepat, selesa dan murah. Apabila tempoh perjalanan boleh disingkatkan ke tahap maksimum, produktiviti pekerja juga meningkat kerana lebih banyak masa dan tenaga boleh ditumpukan untuk urusan pekerjaan berbanding urusan perjalanan. Malah, kereta api laju antara jenis pengangkutan yang mencatatkan kemalangan paling sedikit selepas kapal terbang kerana tidak berkongsi laluan dengan jenis pengangkutan lain (Right of Way). Mengikut kajian, peratusan rakyat Malaysia yang menggunakan kereta api awam sebagai pilihan pengangkutan tidak sampai 10 peratus. Lebih 90 peratus rakyat Malaysia menggunakan kenderaan persendirian sama ada kereta atau motosikal sebagai pilihan pengangkutan. Kesannya, kita boleh lihat kadar kemalangan jalan raya di negara kita semakin meningkat dari tahun ke tahun. Walaupun jalan raya dan lebuh raya baru dibina, bilangan kenderaan persendirian yang mendaftar turut meningkat. Mengikut statistik, motosikal menyumbang 48 peratus kepada kemalangan di Malaysia manakala 36 peratus dari kereta. Alangkah ruginya bilamana ramai nyawa generasi muda yang diharapkan menjadi penyumbang kepada kepimpinan dan ekonomi negara banyak dikorbankan di atas jalan raya. Di negara-negara maju, kereta api merupakan sistem pengangkutan utama dan menjadi pilihan masyarakat kerana kepantasan, ketepatan masa dan tambang yang murah. TGV rekaan syarikat Alstom dari Peranchis bergerak pada kelajuan maksimum 574km/j dan merupakan kereta api paling laju setakat ini. Atas faktor keselamatan, TGV hanya bergerak dalam kelajuan 350 km sejam dan menjadi nadi pengangkutan utama di benua Eropah. Sepanjang tahun 2008 sahaja, TGV mengangkut lebih 98 juta penumpang di Eropah. Jepun pula memiliki Shinkansen yang bergerak di atas landasan konvensional. Pada tahun 1996, ujian ke atas Shinkansen berupaya mencecah kelajuan 443km/j. Banyak negara menjadikan Shinkansen sebagai model sistem tren laju mereka. Kelajuannya mampu mencapai lebih 300 km sejam menjadikan Shinkansen ikon kepada kemajuan Jepun dan kecanggihan teknologinya serta membolehkan rakyatnya bergerak pantas dalam persaingan.

Kecekapan sistem pengangkutan awam dan kecanggihan teknologi mempunyai perkaitan yang sangat kuat dengan perkembangan ekonomi sesebuah negara. Sebagai contoh, Korea Selatan dan China adalah dua buah negara yang jauh lebih miskin dan ketinggalan berbanding Malaysia ketika merdeka dahulu. Namun, Korea Selatan pada hari ini bangkit menjadi antara negara Asia berteknologi tinggi dengan memiliki jenama besar bertaraf dunia. China pula bangkit sebagai kuasa besar ekonomi dunia. Seperti Jepun, kedua-dua negara ini iaitu Korea Selatan dan China kini menjadi negara utama yang mempelopori teknologi kereta api laju. China kini boleh berbangga dengan kereta api laju buatannya berjenama CNR yang menghubungkan Beijing dan Shanghai selama 5 jam berbanding kereta api biasa yang mengambil masa 10 jam. Kereta api laju yang bergerak pada kelajuan 330 kilometer sejam menyerap banyak idea dari Jerman, Perancis dan Jepun sebelum menukarnya menjadi produk yang lebih baik. Syarikat kejuruteraan gergasi Jerman itu dan Alstom, sebuah konglomerat dari Perancis yang pakar dalam bidang pengangkutan dan sistem janakuasa - telah bekerja untuk CNR selama beberapa tahun dengan membina sistem tren laju itu sebelum China mengambil kesempatan mempelajari pemindahan teknologi tersebut dan membangunkan sistem kereta api lajunya tersendiri. Teknologi kereta api buatan China bukan sahaja mendapat kepercayaan daripada kerajaan Malaysia, malah daripada kerajaan Arab Saudi bagi membina sistem kereta api monorel Mekah dan projek membina sistem kereta api laju Haramain yang akan menghubungkan Mekah dengan Jeddah dan Madinah dengan kelajuan 360 km sejam dan berupaya membawa 72 000 penumpang setiap jam. Kerajaan Turki juga memberi kontrak kepada syarikat China bagi membina sistem kereta api laju yang menghubungkan Ankara dengan Istanbul. Saya difahamkan kereta api laju menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura yang dijangka siap pada tahun 2020 juga menggunakan teknologi dari China. Perkara ini menjadi tanda tanya kepada diri saya, sampai bila negara-negara Islam termasuk Malaysia harus bergantung kepada negara Barat dan Asia Timur? Saya mengimpikan pada tahun negara kita mencapai status negara Islam yang pertama mencapai taraf negara maju pada tahun 2020, kita akan mempunyai kereta api laju buatan sendiri, tetapi malangnya hasrat itu nampaknya tidak kesampaian. Salah satu cabaran Wawasan 2020 ialah mewujudkan masyarakat yang saintifik dan progresif iaitu masyarakat yang mempunyai daya cipta yang tinggi dan menyumbang sesuatu penghasilan dari segi sains dan teknologi.

Cadangan kepada KTMB

Saya mencadangkan pihak KTMB supaya mencotohi Proton iaitu syarikat pengeluar kereta tempatan kebanggaan kita dalam hal ini. KTMB dan Proton mempunyai beberapa persamaan. Pertamanya, Proton dan KTMB dimiliki atau majoritinya dimiliki oleh orang melayu-islam. Semua jawatan dari pengarah urusan, ketua pegawai eksekutif, pengurus, jurutera sehinggalah teknikal terdiri daripada orang melayu-islam. Kedua, jenis perniagaan Proton dan KTMB memfokuskan kepada pengangkutan. Proton selaku pengeluar kereta, manakala KTMB selaku operasi dan penyelenggaraan kereta api. Tetapi, dari segi tahap kejayaan, Proton lebih berjaya kerana berjaya menjadi pengeluar produk bukan sekadar operasi dan pemasangan. Adakah KTMB tidak mampu mencotohi Proton dalam hal ini? KTMB bukannya baru ditubuhkan malah jauh lebih lama daripada Proton iaitu pada zaman penjajahan British dahulu iaitu 1885 berbanding Proton pada tahun 1985. Ada beberapa perkara yang saya rasa KTMB boleh mencotohi Proton. Pada awalnya, Proton bekerjasama dengan Mitsubishi sebagai rakan kongsi bagi mempelajari teknologi automotif kerana kita memang tiada kepakaran pada masa itu. Untuk Proton Wira, berpuluh puluh designer dan engineer Proton dihantar ke Jepun untuk kerjasama design kereta baru. Proton dan Mitsubishi kongsi modal. Proton Waja yang dikeluar pada tahun 2000 adalah permulaan kita untuk menunjukkan kita mampu melakukan kerja sendiri. 100% didesign orang orang kita. Tapi untuk kejuruteraan kita memerlukan konsultant dari luar dari Eropah dan Amerika disebabkan kekurangan kakitangan. Tahun 2003 mencatatkan kejayaan membanggakan buat Proton apabila kita berjaya mengeluarkan 100% buatan sendiri iaitu Gen-2 termasuk enjin. Enjin Gen-2 adalah enjin terkini yang direka oleh jurutera Proton dan dibina di Malaysia. Kenyataan ini saya ambil daripada jurutera Proton yang bekerja di bahagian RnD, Ada beberapa cadangan praktikal yang KTMB boleh ambil. Antaranya :

1.) Saya dimaklumkan mengenai pembukaan kilang gerabak dan lokomotif kereta api, CSR Rolling Stock Centre (Malaysia) Sdn Bhd, di Batu Gajah, Perak. Kilang itu akan dibina bersebelahan Akademi KTMB dan kilang operasi dan penyelenggaraan KTMB. Ambillah kesempatan ini mempelajari teknologi daripada syarikat tersebut. Kalau boleh, hantarlah beberapa staf dan jurutera tempatan ke kilang pemasangan dan RnD syarikat CSR di China untuk pemindahan ilmu dan teknologi.

2.) Tubuhkan unit penyelidikan dan pembangunan (RnD) dalam organisasi KTMB. Buat permulaan, ambillah konsultant dari Jerman, Amerika, Peranchis, Jepun, Korea dan China bagi melatih jurutera-jurutera tempatan. Walaupun terpaksa menggunakan peruntukan yang tinggi untuk itu, tetapi bagi saya ia mendatangkan keuntungan kepada pihak KTMB untuk jangka panjang. Biar pakar-pakar jurutera dan teknikal KTMB mempelajari teknologi kereta api dari pelbagai negara supaya pengetahuan dan kemahiran mereka bertambah dan dalam masa yang sama boleh manjana inovasi bagi mencipta sistem sendiri yang lebih baik. Apabila kita sudah ada ramai pakar jurutera dan teknikal kereta api kita sendiri, kita bukan sahaja boleh mengeluarkan kereta api sendiri di negara ini malah boleh mengeksport kepakaran dan teknologi ke negara luar yang sedang membangun.

3.) Setakat ini hanya Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang menawarkan kursus kejuruteraan kereta api dalam peringkat sarjana dan saya salah seorang daripadanya. Banyakkan lagi kerjasama industri antara pihak KTMB dengan UTHM. Kalau boleh adakan pertukaran pekerja atau pelajar. Pelajar UTHM boleh mengadakan latihan industri di Akademi KTMB dan dalam masa yang sama, pekerja atau staf KTMB melanjutkan pengajian sarjana di UTHM. Hal ini secara tidak langsung boleh mempercepatkan bilangan pekerja mahir berpengetahuan tinggi dalam industri rel.

4.) Selain pemindahan teknologi, satu lagi perkara yang perlu diambil kira oleh KTMB ialah teknologi organisasi. Menurut Peter F Drucker, teknologi organisasi ialah segala ilmu dan amalan terbaik berkaitan pembinaan, pengurusan dan pengendalian organisasi bagi menghasilkan daya keusahawanan serta daya saing tinggi. KTMB mahupun syarikat korporat lain tidak harus memusatkan segala kuasa kepada pemimpin atasan di puncak hierarki. Keberkesanan dan kecekapan tidak akan dapat diperoleh selagi pemimpin atasan membolot semua kuasa dan menjadi pengerak semua inisiatif dan penyelesai segala masalah. Setiap individu dan setiap unit dalam apa jua organisasi termasuk KTMB wajib menyumbang dan memainkan peranan dalam merealisasikan matlamat bersama. Beri insentif dan kenaikan gaji kepada kakitangan dan pekerja yang bekerja bersungguh-sungguh, berdaya kreatif dan inovasi serta mempunyai semangat berpasukan yang tinggi.

Kesimpulannya, negara Malaysia yang sering menjadi model oleh negara-negara islam yang lain yang mempunyai kekuatan ekonomi tidak harus mencari jalan mudah menggunakan wang dan kekayaan untuk membeli apa sahaja yang dijual oleh orang lain tanpa berusaha mencari jalan menghasilkannya dengan keupayaan sendiri. Bagi mencapai Wawasan 2020 dan negara maju berpendapatan tinggi, kita wajib menguasi ilmu dan teknologi yang diperlukan untuk maju bagi mengelak kita terus dilabel sebagai pengguna dan penumpang. Kecanggihan teknologi apabila digandingkan dengan teknologi organisasi menerusi syarikat berorganisasi besar mampu menjana ekonomi bertaraf tinggi kepada negara Malaysia dan bangsa Melayu-Islam selaku bangsa majoriti di negara ini.