02 Mei 2015

BERGANDING BAHU

Kemelut RUM akan berakhir dengan beberapa perkara yang masih tergantung, In Syaa Allah semua akan selesai sedikit masa lagi.

Namun keutamaan kita selaku pekerja perlu memainkan tanggungjawab yang sempurna dan berdedikasi bagi memastikan KTMB dipulihkan sepenuhnya.

Kehadiran Presiden KTMB yang baru ini sesuatu yang sangat dibanggakan, namun tanggungjawab Presiden KTMB yang baru sangat besar dan berat, apatah lagi untuk memulihkan KTMB yang sedang tenat, maka kita perlu bersama, bekerjasama dan membantu Presiden KTMB yang baru bagi memulihkan semua aspek yang terbengkalai sekian lama.

Bukan satu kerja mudah, ibarat kata "mencuci tahi" jadi kita tidak boleh menaruh harapan yang tinggi untuk mengharapkan pemulihan secepat mungkin, justeru itu saya menyeru semua warga KTMB bersatu hati, bangkit membantu Presiden KTMB yang baru bagi memastikan usaha memulihkan KTMB berhasil.

Saya juga yakin Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan akan memberi khidmat nasihat dan bantuan kewangan yang secukupnya untuk membantu KTMB dan memulihkan KTMB.
Maka itu, marilah kita bersama-sama berganding bahu untuk mencapai satu matlamat iaitu memulihkan KTMB.

RUM sebagai organisasi Kesatuan Sekerja yang sah akan memberi kerjasama yang baik dan berharap hubungan keharmonian perusahaan akan kekal terjalin.

Kerana kami bangga akhirnya "WARGA KTMB" kembali menerajui KTMB!

Kenyataan Rasmi Kesatuan Pekerja2 KTMB