27 Mei 2015

Tawar syarikat kereta api guna landasan berkembar

gambar Utusan Online
KUALA LUMPUR 25 Mei – Kementerian Pengangkutan kini dalam perancangan untuk menawarkan syarikat-syarikat kereta api selain Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menggunakan landasan berkembar yang dibina untuk meningkatkan industri rel negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, setakat ini, KTMB hanya menggunakan 30 peratus landasan berkembar tersebut dan tumpuannya melibatkan lokomotif penumpang berbanding kargo.

Jelas beliau, KTMB boleh menjana pendapatan jika menawarkan perkhidmatan landasan berkembar kepada beberapa syarikat kereta api, khususnya melibatkan lokomotif kargo.

“Kementerian merancang untuk mewujudkan sistem pengurusan landasan oleh pelbagai syarikat kereta api memandangkan ada lebihan sebanyak 70 peratus landasan berkembar yang tidak digunakan oleh KTMB.

“Langkah itu bukan sahaja boleh meningkatkan pendapatan KTMB, malah membuka peluang baharu kepada warga agensi tersebut untuk bertukar-tukar kepakaran dan teknologi dalam meningkatkan industri rel negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis kesyukuran Kesatuan Pekerja-pekerja KTMB di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua UMNO Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Pengerusi KTMB, Datuk Nawawi Ahmad dan Presiden Rum, Abdul Razak Md. Hassan.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, kementerian itu juga akan mengumumkan keputusan tentang cadangan tersebut selewat-lewatnya tahun hadapan.

Sementara itu, Abdul Razak menjelaskan, mana-mana syarikat kereta api yang menggunakan landasan berkembar berkenaan akan dikenakan cukai seperti yang ditetapkan oleh KTMB berdasarkan penggunaan landasan dan stesen sedia ada.

Katanya, penyertaan syarikat kereta api kargo dialu-alukan sekiranya cadangan itu diluluskan oleh kementerian memandangkan sektor kargo dalam industri rel negara masih rendah berikutan harga lokomotif yang tinggi.

“Daripada dibiarkan 70 peratus landasan berkembar tidak digunakan, lebih baik ditawarkan kepada syarikat kereta api lain yang jelas boleh membantu meningkatkan keuntungan KTMB,” ujarnya.
- UTUSAN ONLINE