15 November 2017

Kesatuan pekerja ulangi desakan batal perjanjian halang transformasi KTMB

November 15, 2017

PETALING JAYA: Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) mengulangi desakan membatalkan Perjanjian Akses Rangkaian Kereta Api (RNAA) yang didakwa akan menghalang usaha ketua pegawai eksekutifnya (CEO) mentransformasikan KTMB.

Presiden KPPKTMB, Abdul Razak Md Hassan mendakwa RNAA yang diwujudkan berlandaskan idea korup, memberi kuasa mutlak kepada Perbadanan Aset Keretapi (RAC) melakukan pembangunan yang hanya akan menguntungkannya.

“Sistem RNAA yang bakal diwujudkan ini secara negatifnya hanya menguntungkan PAK dan mengancam pembangunan KTMB.

“Malah idea inovatif yang dicetuskan CEO KTMB juga sukar dicapai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

RNAA ialah perjanjian mengasingkan pengendali perkhidmatan kereta api di bawah KTMB, dengan pemilikan, pengurusan dan penyelenggaran aset yang bakal diletakkan di bawah RAC.

Pada 5 Mei lalu, Razak dilaporkan berkata, RNAA bakal memberi implikasi besar kepada pekerja dan KTMB, daripada sudut perkhidmatan dan kepentingan negara, termasuk menyebabkan pemberhentian 4,000 kakitangan KTMB.

Mengulas lanjut, Razak berkata, kesatuan itu menyambut baik rancangan CEO, Mohd Rani Hisham Samsudin meneroka projek pembangunan hartanah di tanah milik KTMB di sekitar Lembah Klang kerana ia boleh menjadikannya agensi mampu menjana keuntungan.

“Untuk mencapai hasrat cetusan idea inovatif ini yang mana kesatuan menyokongnya demi kebaikan KTMB, kerajaan hendaklah membubarkan RAC dan menyerapnya dalam jabatan di bawah KTMB.

“Maka, semua pemilikan aset hendaklah dikembalikan kepada KTMB bagi memastikan pembangunannya mencapai hasrat seperti diinginkan CEO KTMB.”

Beliau menggesa kerajaan memberi peluang kepada Rani Hisham yang dilantik perdana menteri untuk membuktikan kemampuannya.

“Keyakinan perdana menteri perlu diselarikan dengan perubahan struktur perniagaan KTMB yang lebih luas dan bukan hanya fokus kepada bidang perkeretapian.

“Sudah tiba masanya KTMB diolah menjadi perniagaan global bukan sahaja dari sudut hartanya, malah mampu menjadi pengeluar lokomotif, koc, set komuter dan sebagainya.”  [FMT]