PETALING JAYA: Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) menggelarkan Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Datuk Elias Kadir (gambar) sebagai ‘non performing president’.
Menurut Presiden KPPKTMB, Abdul Razak Md Hassan, kerugian yang dialami oleh KTMB kini, adalah berpunca daripada Elias yang setelah dua tahun dilantik sejak 2 Mei 2011 hingga kini, tiada apa-apa perubahan yang dilakukan.
“Dalam tempoh dua tahun tiada apa-apa perubahan yang dibawa oleh beliau, dan sejak dua tahun itu, kerugian yang dialami oleh KTMB semakin buruk.
“Kerugian tersebut memberikan implikasi kepada pekerja yang rata-ratanya berpendapatan gaji di bawah pasaran,” katanya sewaktu dihubungi oleh FMT.
Selain itu, sejak Elias dilantik juga, laluan-laluan keretapi dan gerabak keretapi tidak pernah di servis.
“Selain mengancam keselamatan penumpang keretapi, ia juga turut mengancam keselamatan para pekerja KTMB,” katanya.
Dalam pada masa yang sama, Abdul Razak tidak menafikan bahawa sejak kehadiran Elias, KTMB sudah mengalami kerugian namun sejak kehadirannya, kerugiannya semakin teruk.
“Kalau dulu kerugian yang dialami oleh KTMB adalah teruk, tetapi sekarang ini lagi teruk,” katanya.
Ujar Razak lagi, sebagai Presiden KTMB, beliau sepatutnya berusaha dan mencari pelabur-pelabur serta memberi idea untuk memajukan KTMB.
‘Orang yang bertanggungjawab’
“Dia adalah orang yang bertanggungjawab untuk mencari dana bagi memajukan KTMB semula,” katanya.
Malahan ujar Razak lagi, sepatutnya pihak-pihak luar diberikan ruang dan peluang untuk berniaga di, tetapi perkara sebaliknya berlaku.
“Kadar keuntungan KTMB selama setahun adalah sebanyak RM380 juta, tetapi kadar perbelanjaan KTMB pula adalah sebanyak RM700 juta setahun,” ujarnya.
Jelas Razak lagi, masa yang diambil untuk sebuah gerabak keretapi kira-kira satu jam untuk tiba ke stesen keretapi.
“Kenapa perlu satu jam untuk satu gerabak keretapi, sedangkan kita boleh buat lima minit.
“Kalau boleh buat kekuatan penuh kita boleh adakan 200 perjalanan keretapi dalam tempoh
24 jam,” ujarnya.
Dalam pada masa yang sama, KPPKTMB turut mendesak Kementerian Kewangan agar segera menamatkan perkhidmatan Elias sebagai presiden KTMB.
“Kenapa kita perlu simpan presiden yang tidak membawa apa-apa perubahan kepada KTMB. Takkan nak biarkan KTMB terus rugi lagi,” katanya.
Petang ini, pada jam 4.30 petang, akan diadakan satu piket di perkarangan ibu pejabat KTMB, tujuan piket tersebut diadakan adalah untuk menamatkan perkhidmatan presiden KTMB. - FMT
09 Mei 2014
Home »
» KPPKTMB gelar Elias ‘non performing president’
KPPKTMB gelar Elias ‘non performing president’
Jumaat, Mei 09, 2014