16 Oktober 2014

Ahmad Maslan akui piket KTM kerana bantah Elias

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan mengakui bahawa siri piket oleh Kesatuan Pekerja Keretapi Malaysia (RUM) berlaku kerana "personaliti" dalam pengurusan Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad.

Menurut beliau yang juga ahli Parlimen Pontian, personaliti itu merujuk kepada Presiden KTM, Datuk Elias Kadir.

"Mereka berpiket bukan kerana soal gaji atau soal kebajikan. Piket mereka itu kerana seorang personaliti iaitu Datuk Elias Kadir," kata Ahmad di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan dari Dr Lee Boon Chye (PKR-Gopeng) yang meminta menteri kewangan menyatakan prestasi KTMB selepas ia dikorporatkan pada 1992.

Ahmad bagaimanapun tidak menyatakan sama ada sebarang tindakan akan diambil terhadap Elias yang dilantik memegang jawatan presiden KTM sejak 2 Mei 2012.

Beliau sebelum itu adalah ketua pegawai eksekutif Multimodal Freight Sdn Bhd - sebuah unit di bawah pentadbiran KTMB.

Sudah 8 minggu bincang

Menurut Ahmad lagi, pihak KTM yang diketuai Pengerusinya Datuk Ir Nawawi Ahmad kini sedang berbincang dengan RUM untuk menyelesaikan kemelut itu.

"Perbincangan sudah berlangsung selama lapan minggu dan saya percaya Datuk Nawawi akan mampu menyelesaikannya," kata Ahmad.

Sebelum ini, Presiden RUM, Abdul Razak Mad Hassan bersama lapan orang kakitangan RUM dipecat selepas berpiket pada 9 Mei lalu.

Pada masa yang sama, 15 orang lagi digantung kerja sementara 110 orang lain menerima notis tunjuk sebab kerana terlibat sama dalam piket itu.

Piket itu dilakukan bagi menuntut Elias meletak jawatan kerana didakwa gagal memulihkan KTM - satu tugasan yang sepatutnya dilakukan beliau sejak menerajui KTM dua tahun lalu.

RUM kemudian mengadakan dua lagi piket bagi menuntut perkara yang sama. [MK]