Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini mendesak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) agar mengembalikan semula pekerjaan kakitangannya yang diberhentikan sebelum ini.
Memorandum itu dihantar ke pejabat KTM, petang ini.
Dianggarkan seramai 70 orang pemimpin kesatuan pekerja dan 100 orang pekerja KTM turut hadir bagi menghantar memorandum kepada Pengerusi KTMB, Datuk Ir Nawawi Ahmad.
Sebelum memorandum diserahkan, sebahagian daripada mereka yang hadir melaungkan "Hidup KTMB! Bangkit pekerja!"
Sebahagian yang lain memalu gendang berselang-seli dengan laungan tersebut.
Kenderaan yang lalu di jalan berhampiran stesen keretapi Kuala Lumpur itu turut membunyikan hon dipercayai tanda menyokong himpunan itu.
Polis turut kelihatan mengawal lalu lintas dan kawasan perkarangan KTMB sepanjang himpunan berlangsung.
Menurut Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu (RUM), Abdul Razak Md Hassan, sehingga hari ini seramai 40 orang pekerja KTMB dibuang kerja dan 16 orang lagi digantung kerja kerana meyertai piket pada 9 Mei lalu.
Timbalan Pengerusi MTUC, N Gopal Krishnan berkata mereka akan berpiket di hadapan Parlimen sekiranya tuntutan dalam memorandum itu gagal ditunaikan KTMB.
"Hari ini kita akan hantar memorandum, kalau kita tidak dapat respons yang baik kita akan ambil satu tindakan yang lain seperti kita akan pergi ke Parlimen"
"Jika tidak selesai juga kita akan pergi ke pejabat perdana menteri kerana KTM ialah satu syarikat GLC (berkaitan kerajaan) di bawah Kementerian Kewangan dan perdana menteri juga adalah menteri kewangan," katanya.
Tambah Gopal, mereka ada menghantar surat kepada perdana menteri dan menteri pengangkutan berkenaan hal ini namun belum menerima jawapan. - MK