20 Oktober 2014

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi menggesa majikan menghentikan segala bentuk penindasan "Union Busting" terhadap pekerja mereka.

Presiden MTUC Khalid Atan berkata, pihaknya mewakili pekerja yang tertindas mengharapkan campur tangan badan hak asasi manusia itu untuk membela nasib pekerja yang diberhentikan majikan tanpa sebarang alasan yang munasabah.

Kumpulan berkenaan mengadakan bantahan secara aman di perkarangan pejabat Suhakam dengan membawa plakad tertera perkataan "Hentikan Union Busting" sambil melaungkan "Henti Penindasan", "hidup, hidup pekerja", dan "hidup Suhakam".

"Kita hari ini di Suhakam, berbincang dengan pesuruhjaya atas tindakan majikan yang tidak bertanggungjawab, dan kita mahu Suhakam memberi pembelaan kepada pekerja yang dibuang tanpa sebarang alasan.
"Mereka (Suhakam) mungkin akan anjurkan pertemuan antara majikan dan pekerja untuk membincangkan permasalahan ini," kata Khalid dalam ucapannya sejurus penyerahan memorandum kepada Anggota Pesuruhjaya Suhakam James Nayagam.

Sebelum itu, MTUC turut berarak ke pejabat Majlis Peguam untuk memorandum yang sama.

"Hari ini kita berhimpun membantah tindakan majikan membuang pekerja tanpa sebab munasabah.

"Pagi tadi kita serah memorandum kepada Majlis Peguam, dan mereka janji akan kaji aduan kita dan membawa perkara ini kepada pihak atasan," kata Khalid di depan lebih 50 peserta piket.

Program yang dikenali sebagai "MTUC Walk" itu bermula sekitar jam 9.30 pagi dengan peserta berhimpun di depan bangunan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) sebelum bergerak ke pejabat Majlis Peguam.

Program berkenaan kemudiannya tamat sekitar jam 12 tengahari sejurus memorandum bantahan diserahkan kepada Suhakam.

"Union Busting merupakan satu trend yang semakin ketara di mana majikan memberhentikan, menamatkan, memecat, menggantung dan mengambil tindakan disiplin terhadap pemimpin kesatuan sekerja dan ahli serta pekerja yang terlibat dalam aktiviti kesatuan sekerja yang dianjurkan secara sah," kata memorandum mereka.

Selain itu, kumpulan berkenaan turut menyatakan contoh beberapa pemimpin kesatuan sekerja yang dikenakan tindakan oleh syarikat mereka.

Antaranya ialah Presiden Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu Bhd (RUM) Abdul Razak Md Hassan, Presiden Kesatuan Sekerja Pembantu Penerbangan Malaysia (Nufam) Ismail Nasaruddin dan Naib Presiden Kesatuan Sekerja Pekerja Bank (NUBE) Abdul Jalil Jalaludeen. – 20 Oktober, 2014. [TMI]