RUM beranggapan penulis ini "MEROYAN"!
Kenyataan Rasmi Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB
Cc
Dato Ir Nawawi Ahmad
Dato Sarbini Tijan
The Malaysian Insider
RENCANA
Apabila Muslim menjual agama dan kafir melanggan nilainya – Siti Aishah
Published: 13 January 2016 11:00 AM
"Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda "Akan keluar pada akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka berpakaian di hadapan orang lain dengan pakaian yang diperbuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan perkataan mereka lebih manis daripada gula, padahal hati mereka adalah serigala" (HR Tirmizi).
Beberapa hari yang lalu, tersebar berita di portal-portal laman maya tentang hasrat pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk muncul sebagai perkhidmatan keretapi dan tren pertama di dunia yang berpaksikan kepada syariah. Lewat Disember lalu juga sebuah syarikat penerbangan yang dinamakan Rayani Air muncul sebagai syarikat penerbangan pertama yang berkosepkan syariah dalam penyediaan servis perkhidmatannya.
Malah bagi membuktikan betapa "syariahnya" pematuhan yang dibuat dikhabarkan pihak konglomerat tersebut bakal melantik penasihatnya yang merupakan mursyidul am parti Islam di Malaysia. Antara khidmat yang ditawarkan dan dikatakan menepati syara' itu adalah tiadanya alkohol yang dihidang dalam pesawat, para petugas kabin yang berpakaian menutup aurat, bacaan doa sebelum berlepas dan ketika mendarat.
Trend menempelkan label "Islam","syariah","hadis", dan ayat suci Al Quran ini bukanlah sesuatu perkara yang baru dalam pelbagai industri di negara kita. Seolah menjadi tradisi, jika dahulu kita hanya mempunyai label "Islam" dan syariah ini pada institusi pengajian di peringkat universiti dan sistem perbankan namun mutakhir ini wabak mengatasnamakan agama ini turut terjangkit pada produk-produk berasaskan keuntungan seperti yang wujud dalam entiti perniagaan, daripada perkhidmatan penerbangan hinggalah kepada air kosong yang kononnya dikuatkuasa dengan 1001 kebaikan setelah dibacakan 30 juzuk surah Al Quran!.
Tidaklah saya mempertikaikan penggunaan terma sebegini. Kerana jika dilihat kepada positifnya seakan mampu menyuntik satu keyakinan dalam kalangan awam untuk lebih mempercayai kepada "halal" dan mencapai piawaian agama sesuatu produk itu. Sungguhpun begitu, daripada sisi pandang lain, elemen kepenggunaan islamik ini bukan sahaja berupaya mendatangkan fitnah kepada agama bahkan juga meruntuhkan "keimanan" dalam diri individu.
Misalnya, perkhidmatan KTMB yang mahu menjadi patuh syariah. Bagaimana selepas deklarasi itu direalisasikan, masalah keretapi dan tren yang rosak, lambat daripada jadual, sistem pendingin yang tidak berfungsi, yang mana selama ini kekal menghantui para penggunanya.
Bukankah ketika itu, penumpang baik Muslim ataupun bukan Muslim akan mempersoalkan "beginikah perkhidmatan syariah yang ditawarkan Islam" atau mungkin soalan sebegini akan timbul "adakah Islam agama yang tidak kisah perkara sebegini berlaku?". Maka pada akhirnya, rentetan daripada keghairahan sesetengah kita untuk menunjukkan betapa patuh agamanya produk dan perkhidmatan kita akan mengembalikan semula fitnah terhadap agama yang dicintai ini.
Sekadar menyelurusi semula sejarah, sekitar 1090 atau tepatnya pada zaman kegelapan eropah, munculnya segolongan paderi yang menjual indulgence letter (surat penghapusan dosa) secara besar-besaran kepada penganut Kristian. Malahan wujudnya pihak gereja yang mempergunakan agama sebagai propaganda menakutkan rakyat untuk terus berada di bawah cengkaman pemerintah.
Jika dilihat kepada peristiwa tersebut, ia seolah mirip dengan keadaan di negara kita yang berleluasa sekarang. Di mana setiap pemain industri berlumba-lumba menggunakan label agama bagi melariskan produknya.
Pelik bin ajaib kerana asimilasi sebegini banyak kedengaran wujud dalam kalangan umat Islam Malaysia dan lebih tepatnya pada sesetengah bangsa Melayu.
Kontradiksinya bagi bukan Muslim kebanyakan mereka lebih berkiblatkan kepada nilai-nilai seperti amanah,penjagaan masa yang tepat, jujur, keadilan dan pelbagai nilai yang baik dalam menjalankan perniagaan mahupun perkhidmatan yang ditawarkan.
Mereka ini tidak melaung produk mereka mematuhi ajaran agama mereka ataupun siap dibacakan dengan surah-surah dari Injil atau kitab Buddha malahan kebarangkalian dihembus dengan ayat dari kitab Hindu, namun tatacara mereka dalam memberikan perkhidmatan dan menjaga kepercayaan pelanggan mereka jauh lebih menghampiri nilai yang bukan sahaja ada dalam agama mereka bahkan juga terdapat dalam islam sendiri!.
Diulangi, mereka ini tidakpun meletakkan label Kristian, Yahudi, Hindu atau Buddha pada premis perniagaan mereka!.
Sekadar mengambil contoh, perkhidmatan tren di Jepun yang jarang sekali mengalami kelewatan jadual. Jika hal tersebut berlaku kapten yang bertugas ketika itu akan datang menghampiri setiap seorang penumpang dan menundukkan kepala sambil meminta maaf.
Walhal kelewatan yang berlaku hanya beberapa minit!. Malahan keadaan tren yang sentiasa bersih dan kecepatan jurutera pembersihan mereka yang melakukan tugas dalam masa kurang dua minit seperti pernah dilaporkan dalam rancangan Majalah 3, memberi gambaran sekiranya perkara tersebut berlaku di negara ini dengan sistem dan servis yang diamalkan pihak KTMB sekarang sewajarnya kita perlu ada rasa malu untuk menggunakan label Islam itu sedangkan nilai yang dibawa lebih teruk dari nilai digunakan sang kafir di negara kafir!
Kita sering mendengar istilah negara Islam walaupun implementasi kebanyakan negara ini banyak yang tidak selari dengan nilai Islam. Kadar bunuh, rogol, jenayah, rasuah dan penindasan minoriti acapkali berkait dengan negara Islam ini. Tidak pula kita mendengar ada negara kafir yang digelar negara Kristian atau negara Yahudi.
Bahkan pusat agama Kristian dan Yahudi sendiri digelar Vatican City dan Israel meskipun kita semua maklum kedua tempat itu mewakili apa! Tidak pernah lagi kita mendengar universiti Kristian wujud sepertimana kita mempunyai universiti Islam yang dibanggakan namun kedudukan kita dalam universiti terbaik jauh ditinggalkan universiti yang bukan Islam ini. Itu belum lagi mahu dibicarakan tentang kerenah birokrasi dan pentadbiran yang meranapkan terus nilai Islam itu.
Sungguh, saya menyambut baik sekiranya nilai-nilai agama seperti jujur, amanah, tiada riba dan sebagainya diadaptasikan dalam sebarang cabang perniagaan, perkhidmatan, politik mahupun kenegaraan. Dengan syarat tiada label "Iislam" atau dabikan dada "kami peneraju syariah pertama di Malaysia atau dunia".
Implikasinya amatlah besar dalam dunia yang serba fitnah ini. Ingatlah Nabi Muhammad SAW juga seorang peniaga, seorang utusan dan seorang pemimpin. Tika menjalankan perniagaan, tidak pula Nabi menggunakan kedudukannya sebagai nabi atau cucu seorang yang berpengaruh di Kota Mekah untuk melariskan jualannya.
Malahan semasa menyampaikan ajaran tidak pula Nabi memaksa kaum Quraisy untuk menerima Islam. Bahkan sewaktu menjadi pemimpin juga Nabi tidak menyatakan Kota Mekah yang berjaya ditawan ketika itu sebagai "negara Islam". Tetapi Nabi SAW menggunakan nilai-nilai yang ada dalam Islam semasa menjadi peniaga, pembawa utusan Tuhan dan pemimpin!.
Ironinya, kita pula kerap megah dengan laungan "Islam" dan "syariah". Dalam menjual produk, berpolitik, hubungan sesama manusia hinggalah kepada perkhidmatan dan servis namun nilai yang dibawa kita hanyut ke laut!.
Menyedihkan apabila wujudnya kelompok yang menyokong penggunaan label agama ini pada perniagaan mahupun politik. Ada yang berkata "sekurangnya ada juga usaha", " yakin untuk lebih guna kerana patuh syariah", dan pelbagai lagi.
Seolah agama itu akan kuat dengan label. Persetankan sahaja nilai dan bagaimana neraca sistem itu berjalan. Asalkan ada perkataan "Islam" dan syariah redah ikut suka sahajalah!.
Tidak mengapa kalau servisnya tidak baik, lambat, berlaku ketirisan, penyelewengan, kakitangan yang biadap, masalah teknikal. Janji ia ada nama Islam dimaafkan walaupun ada sesetengah pemiliknya bukan Islam dan cara pengendalian organisasi juga diragukan!.
Apabila sesetengah Muslim menjual agama dan kafir pula melanggan nilainya, tibalah saat kehancuran agama itu dalam keadaan dipandang hina. – 13 Januari, 2016.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.