27 November 2014

Alhamdulillah dan Terima Kasih (PEMULIHAN KERJA)

Seramai 98% pekerja yang dibuang kerja tanpa notis telah dipulihkan jawatan dan akan kembali bekerja bermula esuk. Arahan penerimaan persetujuan ini dibuat oleh RUM adalah demi memastikan semua yang terlibat boleh meneruskan kehidupan setelah sekian lama ditindas dan dizalimi.

Selaku Presiden RUM, saya berasa lega kerana semua pegawai kesatuan dan ahli-ahli RUM yang menjalankan aktiviti-aktivii kesatuan sekerja telah dipulihkan. Bebanan ini telah diringankan, keresahan dan kerisauan terhadap pekerja yang dizalimi telah meringankan tanggungjawab saya selaku Presiden.

Syukur Alhamdulillah...

Dengan itu bagi pihak Majlis Eksekutif dan seluruh warga RUM merakamkan penghargaan terima kasih yang tidak terhingga kepada YAB Dato Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang telah mengarahkan isu ini "diselesaikan".

Terima kasih pada YB Dato Seri Ismail, Timbalan Menteri Sumber Manusia atas inisiatifnya maka 98% yang terlibat dengan pembuangan ini dipulihkan.

Terima kasih juga kepada Yb Dato Ir Nawawi Ahmad Pengerusi Lembaga Pengarah KTMB, yang turut memainkan peranan penting dalam menyelesaikan sehingga dipulihkan jawatan pada yang terlibat.

Namun demikian selaku Presiden RUM yang bertanggungjawab dengan Perlembagaan Kesatuan telah mengambil pendirian tidak menandatangani persetujuan yang disediakan oleh Presiden KTMB (MAKA PRESIDEN RUM TETAP DI BUANG KERJA TANPA NOTIS), demi memastikan tiada pengugatan hak RUM sebagai Kesatuan Sekerja yang diiktiraf oleh Hak Akta.

Maka itu, sebagai Presiden yang dipertanggungjawabkan untuk "mengawasi Perlembagaan Kesatuan" maka kemelut ini atau pertikaian ini tidak boleh dianggap selesai dan akan terus berjuang memastikan hak Perlembagaan Kesatuan, Hak Akta yang berkaitan terus dipatuhi.

Satu sidang akhbar akan diadakan bagi menjelaskan keadaan serta akan membentangkan "persetujuan yang disediakan oleh Presiden KTMB" bagi menjelaskan sebab musabab kenapa ianya tidak boleh ditandatangani.

Pihak kesatuan tetap menegaskan bahawa "pembuangan kerja yang berlaku adalah tidak sah", "Piket adalah hak kesatuan sekerja", kenyataan dalam "Suara RUM", "Blog Rum" adalah Hak Kesatuan Pekerja2 KTMB ( RUM) selaras dengan hak Akta 177 dan Perlembagaan Persekutuan.

Selaku Presiden RUM maka saya bersedia untuk berdepan di Mahkamah untuk membuktikan "kebenaran", demi mempertahankan "HAK RUM" justeru itu aduan RUM mengenai perlanggaran Seksyen 4 dan 5 Akta 177 terus berkuatkuasa.

"PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI"
"SELAMATKAN KTMB SELAMATLAH PEKERJA"


Presiden
Kesatuan Pekerja2 KTMB
Bagi Pihak Majlis Eksekutif Kesatuan Pekerja2 KTMB