28 November 2014

Manipulasi MoU, RUM ambil tindakan undang-undang atas presiden KTMB

Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu (RUM) mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Elias Kadir Baba kerana memanipulasi memorandum persefahaman (MoU) penyelesaian pertikaian antara kedua-dua pihak.

Presiden RUM Abdul Razak Md Hassan mendakwa, MoU itu pada awalnya dirangka Kementerian Sumber Manusia, namun diubah Elias pada saat akhir.

Katanya, Elias kemudiannya membuat MoU sendiri dan mengenakan syarat tertentu tanpa pengetahuan kerajaan.

MoU itu ditandatangani 26 November lalu bagi membolehkan 97 pekerja KTMB yang dipecat dan dikenakan tindakan disiplin dikembalikan semula jawatan mereka.
"Kami sudah buat aduan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan dan mungkin akan dibawa ke mahkamah.

"Ini persetujuan berat sebelah," katanya.

Razak berkata, Elias dalam MoU itu juga tidak memohon maaf kerana mengisytiharkan piket pada 9 Mei lalu sebagai haram.

Sebaliknya, hanya pekerja saja yang diminta memohon maaf kepada Elias, KTMB dan pihak pengurusan atas segala tindakan dan tuduhan yang dibuat RUM.

Menceritakan mengenai majlis tertutup menandatangani MoU di ibu pejabat KTMB di Kuala Lumpur pada 26 November lalu, katanya, 90 pekerja itu diarahkan naik ke pentas dan membaca kandungan MoU menggunakan mikrofon sebelum menandatanganinya.

"Sekarang ini, permohonan maaf hanya sebelah pihak. Dia suruh ahli saya naik ke pentas minta maaf.

"Piket itu sah. Saya anggap ini belum selesai," katanya.

Katanya, piket itu sah mengikut Akta Perhubungan Perusahaan (Akta 177) dan tidak melanggar sebarang undang-undang.

Katanya, RUM membuat aduan kepada International Transport Workers Federation yang berpengkalan di London serta Pertubuhan Buruh Antarabangsa meminta campur tangan dalam isu ini.

Beliau berkata, aduan itu difailkan melalui bantuan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

"Kami minta bantuan gabungan kesatuan sekerja dunia kerana ini melibatkan 'union busting' dan salah di sisi undang-undang," katanya.

Katanya, apa yang berlaku terhadap RUM bukan saja menjejaskan pekerja keretapi tetapi seluruh kesatuan sekerja.

"Ini amat berbahaya kepada aktiviti kesatuan sekerja yang lain,” katanya.

Kira-kira 700 pekerja KTMB pada Mei lalu berpiket menuntut khidmat Elias ditamatkan kerana gagal membawa keuntungan kepada syarikat sejak 2 tahun lalu sehingga menjejaskan kebajikan pekerja.

Sebanyak 91 daripadanya ditamatkan perkhidmatan pada 18 Ogos lalu selepas siasatan dalaman mendapati mereka bersalah menyertai piket berkenaan.

Pada 20 November lalu, KTMB menawarkan pengambilan semula kakitangan yang dipecat, dengan syarat perlu menandatangani MoU yang antara kandungannya, memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama. – 28 November, 2014. - [TMI]

RUM

Related Posts:

  • BERFIKIRLAH SEBELUM BERTINDAK Satu kenyataan yang dangkal, kerana kenyataan yang berupa tidak tahu hujung pangkal, malah tidak tahu "hak kesatuan sekerja". Bila tidak mengerti "hak kesatuan sekerja" di bawah peruntukan undang-undang maka ianya seolah-… Read More
  • PERTANYAAN WARTAWAN KETIKA SIDANG AKHBAR PADA 28/11/2014 Soalan Wartawan: Presiden KTMB ada menyatakan bahawa KTMB berjaya mengurangkan kerugian. Jawapan pada Wartawan: Diakui benar bahawa Presiden KTMB berjaya mengurangkan kerugian. Sebabnya:- 1. Tiada pembaikpulih… Read More
  • PERTANYAAN RAKAN FB SUARA RUM Kamil Zulkepli: Tuan presiden rum..adakah masa 2 taun cukup untuk kita expect datuk EK akan membuat keuntungan dgn kerugian ktmb setiap taun bepuluh juta.puluh juta bukan angka yg sikit sbb dr apa yg kita tau intercity xmeny… Read More
  • Manipulasi MoU, RUM ambil tindakan undang-undang atas presiden KTMB Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu (RUM) mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Elias Kadir Baba kerana memanipulasi memorandum persefahaman (MoU) pen… Read More
  • RUM still unhappy with picketing solution KUALA LUMPUR: The Railway Union of Malaya (RUM) is still not satisfied with the solution over the termination of 97 union members for picketing in May 9. Its president Abdul Razak Md Hassan claimed the agreement memoran… Read More