OLEH SHERIDAN MAHAVERA
Published: 4 April 2015 9:00 AM
Kebergantungan negara kepada pekerja asing yang makin meningkat menyumbang kepada pengurangan ahli persatuan pekerja yang penting kerana ia mampu meningkatkan gaji dan faedah pekerja.
Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang bermula 1 April lalu membangkitkan lagi kisah gaji rendah, dengan pakar ekonomi melihat lemahnya kuasa pekerja, kebanjiran pekerja asing dan polisi ekonomi kebangsaan sebagai punca utama.
Pakar berkata, masalah berlarutan itu disebabkan polisi perindustrian Malaysia yang bergantung kepada sektor pembuatan.
Namun ia turut berkait dengan pengurangan berterusan keahlian kesatuan disebabkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Malah, seorang pakar ekonomi dalam sebuah forum kebajikan baru-baru ini berkata, hak pekerja yang lebih baik melalui kesatuan dapat memastikan mereka mendapat gaji dan faedah yang lebih baik.
Dr Muhammed Abdul Khalid yang juga penulis Laporan Pembangunan Kemanusiaan Malaysia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (MHDR) 2013 berkata, negara dengan kadar kesatuan yang tinggi cenderung memiliki pekerja yang mendapat bayaran lebih adil.
Penyokong kesatuan mendakwa produktiviti industri yang meningkat beberapa tahun lalu tidak padan dengan peningkatan gaji kerana kuasa kesatuan dinafikan dengan kebanjiran pekerja asing.
Gaji tidak seiring dengan produktiviti
Satu kertas kerja gaji minimum Malaysia CIMB 2012 yang memetik kajian Bank Dunia menyatakan, produktiviti Malaysia meningkat ke tahap 6.7% setahun sejak 10 tahun lalu.
Bagaimanapun, CIMB melaporkan gaji hanya meningkat 2.6% setiap tahun "dengan berlaku penindasan kepada pekerja bergaji rendah dan pasaran buruh yang tidak efisyen".
Ahli veteran kesatuan perdagangan, N Gopal Krishnam (gambar, kanan) berkata trend peningkatan gaji paling rendah ini dibandingkan dengan produktiviti selari dengan penurunan ahli kesatuan.
Pada 1992, 11.4% pekerja menyertai kesatuan, menurut MHDR.
Gopal yang juga setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata, jumlah itu sekarang kekal pada 7%.
Kemerosotan pengaruh kesatuan sekerja dalam merunding kenaikan gaji dan faedah daripada majikan juga selari dengan kadar lebih tinggi pekerja asing yang tiba di sini.
Gopal menganggarkan di dalam sektor pembuatan yang masih merangkumi 25% keluaran dalam negara kasar (KDNK), dengan 35% daripada pekerja adalah warga asing.
“Apabila kesatuan berunding untuk gaji lebih baik dan syarikat menolak permintaan tersebut, kita boleh memulakan tindakan industri (untuk menghentikan operasi).
“Apabila kita lakukan begitu, syarikat boleh bergantung kepada pekerja asing untuk meneruskan kerja,” kata Gopal yang juga mengetuai kesatuan pekerja industri pembuatan kenderaan angkut.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran menuduh pekerja asing sebagai kambing hitam, kerana jika mereka diberi pilihan, mereka akan menyertai kesatuan pekerja.
“Masalahnya ialah majikan akan menghantar pekerja asing itu balik ke negara asal mereka sekiranya mereka berbuat begitu. Memandangkan mereka membelanjakan minima RM10,000 untuk datang ke negara ini, mereka tidak akan mengambil risiko tersebut.”
Industri Malaysia yang bercirikan nilai rendah, kos rendah dan gaji rendah menarik pekerja negara miskin yang bekerja dengan gaji dan suasana pekerjaan yang tidak mahu diterima orang tempatan.
“Polisi industri kami adalah berdasarkan pekerja asing,” kata Profesor Adjung Fakulti Ekonomi dan Pembangunan Universiti Malaya, Tan Sri Kamal Salih.
"Perkembangan produktiviti dalam sektor pembuatan lebih tinggi daripada pertanian dan perkhidmatan, tetapi ia masih tidak diterjemahkan kepada gaji lebih tinggi.
"Perniagaan masih boleh mengekalkan gaji rendah kerana mampu bergantung kepada pekerja asing
yang murah," kata Kamal (gambar, kiri).
Pemecahan persatuan
Pekerja yang terlibat dalam kesatuan tidak semestinya lebih baik, kata Gopal, kerana syarikat sering terlepas dengan membuli atau memecat pekerja yang aktif.
Satu kes baru-baru ini adalah pemecatan pegawai kesatuan KTMB tahun lepas kerana menyertai perhimpunan menyeru peletakan jawatan Presiden KTMB, Datuk Elias Kadir.
Syarikat tersebut sudah pun mengembalikan jawatan kepada pemimpin kesatuan itu, kecuali presidennya, Abdul Razak Md Hassan.
Gopal berkata Razak tidak terkejut kerana beliau menolak terma dan syarat KTMB yang termasuk memohon maaf setiap hari bagi tiga bulan di Facebook atas tindakannya.
“Razak menegaskan kebimbangan keselamatan pekerja dan beliau dihukum,” kata Gopal, menjelaskan mengapa kesatuan tersebut mengadakan perhimpunan menyeru peletakan jawatan Elias.
Gopal berkata pada 2013, 18 ahli kesatuannya sendiri dipecat berasingan oleh majikan mereka atas alasan menyertai aktiviti politik.
“Apa yang mereka lakukan hanyalah memberi memorandum resolusi MTUC kepada seorang ahli politik, yang merupakan permintaan kami. Ia merupakan aktiviti persatuan yang sah, tetapi mereka dihukum.”
Sekali lagi, kerana majikan mampu menggantikan pekerja tempatan dengan pekerja asing lebih murah dan berkesanggupan, mereka tidak tergerak mahu melayan pekerja dengan baik.
Mengembalikan kuasa perundingan
Satu cara mengubah trend ini dan menaikkan gaji adalah membenarkan pekerja, sama ada tempatan atau asing, untuk mempunyai lebih kuasa perundingan dengan majikan tentang gaji, kata Muhammed.
Ini termasuklah perlindungan lebih baik untuk rakyat asing dan tempatan yang menyertai kesatuan sekerja.
Kajian tentang kesatuan sekerja dan perkembangannya, seperti dilakukan badan pemikir Amerika Syarikat, Economic Policy Institute (EPI), menunjukkan kesatuan sekerja memberi perubahan baik kepada gaji dan faedah.
“Kajian menunjukkan yang kesatuan sekerja tidak menjejaskan kadar kecekapan ekonomi tetapi membawa gaji lebih tinggi, dan bertindak aktif untuk meningkatkan gaji pekerja yang rendah atau sederhana, berbanding mereka yang bergaji tinggi,” kata Lawrence Mishel dalam laporan Januari EPI di laman sesawangnya.
“Perundingan kolektif juga membawa kepada pendapatan syarikat disalurkan lebih kepada gaji berbanding faedah.”
Satu kajian EPI pada 2003 menunjukkan yang kesatuan pekerja meningkatkan gaji pekerja yang menyertainya dalam anggaran 20% dan meningkatkan pampasan, termasuk kedua-dua gaji dan faedah dalam kira-kira 28%.
Muhammed juga mencadangkan menukar polisi gaji minima sedia ada daripada yang ditetapkan setiap bulan kepada sistem yang ditetapkan setiap jam, seperti yang dilakukan ekonomi maju.
Polisi kini adalah RM900 setiap bulan untuk Semenanjung dan RM800 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Masalah dengan gaji bulanan ialah syarikat boleh berkata, ‘Saya akan bayar anda RM900 tetapi anda perlu bekerja 14 jam sehari’. Dengan kadar setiap jam, ia lebih adil kepada pekerja.”
Walaupun perniagaan sering berhujah yang gaji sepatutnya ditetapkan oleh kuasa pasaran, Muhammed berkata pada satu tahap, penggubal dasar perlu juga masuk campur.
“Sama seperti mengatakan yang polisi gaji minima, mesti ada kemahuan politik untuk memperbaiki pendapatan." – 4 April, 2015.