28 Mac 2017

DEDAH ISI KANDUNGAN MOU PERBADANAN ASET KERETAPI (RAC) DENGAN ASIA FREIGHT RAIL SDN BHD SEGERA

Kenyataan Media

28 Mac 2017

DEDAH ISI KANDUNGAN MOU PERBADANAN ASET KERETAPI (RAC) DENGAN ASIA FREIGHT RAIL SDN BHD SEGERA

Saya mengambil maklum kenyataan media semalam yang dikeluarkan oleh Aziz Kaprawi selaku Timbalan Menteri Pengangkutan mengenai jaminan Kementerian Pengangkutan tidak akan membuang pekerja KTMB selepas RNAA dilaksanakan, serta tindakan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) yang telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan  Akses Rangkaian Keretapi (RNAA) dengan Asia Freight Rail Sdn Bhd (AFR) di Langkawi pada 23 Mac lalu.

Keengganan Kementerian Pengangkutan mengkaji semula perjanjian tersebut seperti yang digesa Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) serta Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RUM) sangat mengejutkan. Walaubagaimanapun, saya ucapkan tahniah kepada Aziz Kaprawi kerana akhirnya sudi tampil memberi jaminan kepada pekerja KTMB bahawa mereka tidak akan dibuang, meskipun isu ini telah lama dibangkitkan oleh RUM sejak tahun lepas.

Saya menegaskan bahawa sebuah kenyataan media sahaja tidak cukup untuk menjanjikan satu jaminan, melainkan perlu ada juga perjanjian hitam-putih antara KTMB dengan para pekerja sebagai kontrak jaminan. Sekiranya KTMB gagal laksanakan janji, KTMB perlu bayar pampasan kepada para pekerja.

Seperti yang telah saya bangkitkan di Parlimen baru-baru ini, kita bimbang sebarang keputusan untuk menandatangani mana-mana perjanjian melibatkan aset keretapi dengan syarikat swasta akan menyebabkan perkhidmatan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal terjejas.

1-Justeru, saya cabar Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan RAC sebagai sebuah Badan Berkanun Persekutuan untuk tampil mendedahkan isi kandungan perjanjian  persefahaman itu kepada umum. Kerajaan perlu bersikap telus dalam setiap tindakan mereka, terutama apabila perjanjian itu berkaitan kepentingan pengguna dan kakitangan syarikat  terbabit. Kita mengharapkan jaminan yang dikeluarkan semalam selaras dengan butir perjanjian persefahaman ini. Kita juga berharap kerajaan tidak cuba menggunakan Akta Rahsia Rasmi (OSA) bagi cuba menyembunyikan isi kandungan perjanjian tersebut.

2- Saya turut difahamkan perjanjian RNAA tersebut bakal memberi hak kepada kerajaan untuk campur tangan dalam operasi KTMB. Ia termasuk untuk menggunakan khidmat luar jabatan dan mewujudkan pelbagai pengendali atau guna sama landasan dengan memberi lesen atau hak  kepada syarikat swasta menjalankan kargo.

Adakah ini bermakna syarikat swasta asing akan turut menyertai perjanjian ini, dan apakah syarikat swasta dari negara luar  termasuk China akan diberi kebenaran untuk menggunakan landasan sedia ada milik KTMB? Mohon Kerajaan mengemukakan senarai syarikat yang berminat untuk menyertai perjanjian RNAA selain Asia Freight Sdn. Bhd.

3- Saya turut tertanya-tanya, apakah manfaat yang bakal diperoleh syarikat swasta, Asia Freight Rail Sdn Bhd dari perjanjian ini. Hasil carian saya mendapati syarikat tersebut mula  diperbadankan hanya pada 2015. Apakah syarikat tersebut mempunyai kebolehan bagi mengendali aset keretapi selaras perjanjian tersebut?

Timbul juga persoalan apakah tindakan Kementerian Pengangkutan untuk tidak mengkaji semula  cadangan mewujudkan RNAA seperti didesak sebelum ini sebenarnya satu cara bagi kerajaan mendapatkan "komisyen" dari pelabur swasta selain helah untuk tidak mahu lagi memberikan peruntukan kewangan pada KTMB?

Sehubungan itu, ingin saya tegaskan bahawa kerajaan persekutuan mestilah bertanggungjawab untuk memastikan hak dan kebajikan golongan pekerja di negara ini dilindungi.

Sebarang keputusan besar untuk menandatangani mana-mana perjanjian perlulah dibuat dengan adil dan tidak seharusnya menjadikan golongan pekerja dan rakyat di negara ini sebagai mangsa.

Saya menuntut penjelasan bagi soalan-soalan yang telah saya kemukakan pada kadar segera.

YB Dato' Abdullah Sani Abdul Hamid
Ahli Parlimen Kuala Langat
Parti Keadilan Rakyat (PKR)

[https://selangorkini.my/2017/03/isu-pekerja-ktmb-perlu-ada-jaminan-hitam-putih/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=twitter]