22 Mac 2017

‘Jangan jadikan pekerja KTMB dan rakyat mangsa penswastaan’

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kuala Langat menggesa kerajaan mengkaji semula Perjanjian Akses Rangkaian Kereta Api (RNAA) bagi mengelakkan kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan rakyat menjadi mangsa penswastaan.

Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, KTMB perlu beroperasi sebagai perkhidmatan sosial disubsidi kerajaan, bukannya diswastakan untuk mendapat keuntungan tanpa memikirkan kesan negatif kepada pengguna dan kakitangan.

RNAA ialah perjanjian antara Perbadanan Aset Kereta Api (RAC) dengan syarikat swasta dan jika dipersetujui kerajaan, pengoperasian tren, kargo dan lokomotif akan diambil alih syarikat luar, manakala KTMB sekadar menyelaraskan waktu perjalanan tren dan menguruskan stesen perhentian.

“Hal ini akan menyebabkan sejumlah besar pekerja KTMB kehilangan kerja dalam bidang pengoperasian kereta api kerana tugas-tugas tersebut akan diambil alih syarikat swasta berkenaan.

“Saya khuatir RNAA akan menyebabkan harga tiket komuter dan perkhidmatan KTMB lain meningkat. Hal ini kerana pelaburan syarikat swasta yang menyertai perjanjian tersebut memerlukan kos tinggi untuk memulakan penglibatan dalam industri kereta api seperti pembelian ‘rolling stock’, ‘wagon’ dan lokomotif.

“Situasi ini akan menyebabkan kos sara hidup rakyat meningkat, apatah lagi setelah kenaikan tambang komuter pada akhir 2015,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 21 Disember 2016, Presiden Kesatuan Pekerja KTMB, Abdul Razak Md Hassan menyuarakan kebimbangan 4,000 kakitangan akan hilang kerja. Ketika ini, KTMB mempunyai 5,500 pekerja.

RNAA juga dikatakan akan memberi hak kepada kerajaan mencampur tangan dalam operasi KTMB, termasuk menggunakan khidmat luar jabatan dan mewujudkan pelbagai pengendali atau guna sama landasan dengan memberi lesen atau hak kepada syarikat swasta menjalankan kargo.

Sani yang juga bekas pemangku presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata, kerajaan sepatutnya menyelesaikan masalah dihadapi KTMB dan menyalurkan peruntukan secara telus kepada sektor pengangkutan awam.

“Peruntukan lebih kurang RM2 bilion setiap tahun melalui bajet kerajaan persekutuan sewajarnya mencukupi untuk KTMB memajukan operasi tanpa memerlukan penswastaan lanjut melalui mana-mana perjanjian.

“Saya khuatiri RNAA ini dibuat semata-mata kerajaan tidak mahu lagi memberikan peruntukan kewangan kepada KTMB, sebaliknya melepaskan tanggungjawab tersebut kepada syarikat swasta yang mendapat kontrak.

“Tambahan pula, perjanjian ini akan menyebabkan KTMB semakin terdedah kepada ketirisan dan kronisme, sekiranya tatakelola perolehan kontrak tidak telus,” dakwa wakil rakyat PKR itu. - FMT

 Freemalaysiatoday.com 


Related Posts:

  • Kesatuan pekerja ulangi desakan batal perjanjian halang transformasi KTMB November 15, 2017 PETALING JAYA: Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) mengulangi desakan membatalkan Perjanjian Akses Rangkaian Kereta Api (RNAA) yang didakwa akan menghalang usaha ketua pegawai eksekutifny… Read More
  • KUARTERS/ RNAARUM menyedari bahawa betapa sukarnya pekerja swasta lain yang bergaji RM 2.000.00 atau sekurang-kurang bergaji minima RM 1000.00 yang tiada rumah kuarters terpaksa menyewa rumah, kalau dilembah klang sewa rumah yang paling mu… Read More
  • IMPLEMENTASI RNAA DITANGGUHKAN SELAMA 2 TAHUN (PART 2.)8. RAC sebenarnya tidak mampu untuk menjalankan apa-apa tugas berkaitan industri perkeretapian, mereka tidak memahami atau mengetahui apa jua kerja-kerja yang dilakukan oleh KTMB, dalilnya projek Skypark bermasalah seperti la… Read More
  • IMPLEMENTASI RNAA DITANGGUHKAN SELAMA 2 TAHUN1. Syukur Alhamdulillah implementasi RNAA telah ditangguhkan, usaha semua pihak khususnya sokongan dari ahli-ahli RUM dalam memperjuangkan penolakkan RNAA fasa awalan telah berjaya dengan penangguhan ini, terima kasih khusus … Read More
  • Terima RNAA kerana tidak arif asal usul KTMBOwh.. Lembaga Pengarah KTMB... Kalau 2 Lembaga Pengarah KTMB ini faham KTMB/SAYANG KTMB/TAU ASAL USUL KTMB, pasti dia tidak "sign" terima RNAA.. sekarang kerana 2 Lembaga Pengarah ini menyusahkan semua pihak terutamanya RUM y… Read More