08 Mac 2017

Kita Patut Tiru China, Bukan Beli Dari Dia: Kesatuan KTMB

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

KUALA LUMPUR, 9 Jamadilakhir 1438H, Rabu – Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu (RUM) berpendapat kerajaan tidak perlu membeli lokomotif daripada China, sebaliknya meniru apa yang dilakukan negara itu terhadap perkhidmatan kereta apinya.

Presiden RUM, Abdul Razak Md Hassan berkata, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengambil langkah ke belakang dengan mementingkan pihak lain untuk mendapatkan bekalan.

“China tak swastakan keretapi dia, lokomotif dia mampu buat sendiri. Kenapa nak jadikan kita lebih rendah martabatnya? Kita mampu tambah baik perkhidmatan KTM. Kalau betul nak pandang China, kita tiru dia, bukannya beli dari dia.

“Saya kaji China cara dia buat dan bangunkan. Enjin dia dapat dari Eropah, beberapa perkakas lain dari Jepun, tetapi body, wiring dan frame dia buat sendiri.Kita pun boleh buat, kenapa kita taknak buat? Menteri Pengangkutan berfikiran ke belakang, mementingkan pihak lain untuk outsource.

“Orang patutnya pandang ke depan, dia ni pandang ke belakang, saya tak faham kenapa,” katanya dalam temubual eksklusif bersama ismaweb.net.

Semalam, ismaweb melaporkan Perjanjian Akses Rangkaian Kereta Api (RNAA) melalui Perbadanan Aset Keretapi (RAC) cetusan idea Tiong Lai bakal menghapuskan sepenuhnya syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), jika ia dilaksana.

RNAA akan memberi hak kepada kerajaan untuk campur tangan dalam operasi KTMB, termasuk menggunakan khidmat luar jabatan dan mewujudkan pelbagai pengendali atau guna sama landasan dengan memberi lesen atau hak kepada syarikat swasta menjalankan kargo.

Tahun lalu, kerajaan menerusi syarikat RM2, Malaysia Rail Link Sdn Bhd, menandatangani perjanjian dengan firma dari China – China Communication Construction Company Ltd (CCCC) – bagi melaksanakan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion.

China juga kini memperluaskan hegemoninya secara tersirat melalui kuasa tentera dan tersurat melalui ekonomi, di mana Malaysia dan Singapura dianggap sebagai sebahagian daripada ‘wilayahnya’ di bawah projek ‘one belt one road’ (Obor).

Di bawah projek Obor inilah China sangat agresif memasarkan teknologi kereta apinya kepada Malaysia dan Singapura serta memberi pinjaman berbilion ringgit bagi melaksanakannya, yang mana laluan kereta api akan berakhir di Beijing.

Abdul Razak berkata, perjanjian itu bakal memberi pelbagai impak yang amat negatif terhadap KTMB, termasuk pemberhentian pekerja.

Justeru, beliau berharap mendapat kesempatan untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan isu ini.

“KTMB tidak perlu campurtangan RAC. Kembalikan KTMB kepada sektor awam. Sebab dalilnya, KTMB ini adalah perkhidmatan sosial. Saya tidak mahu penumpang terasa rugi apabila perkhidmatan sosial ini dihentikan.

“Implikasi ini tidak diterangkan kepada Datuk Seri Najib kerana beliau hanya mendengar dari perspektif positif. Saya tidak salahkan beliau. Kalau kerajaan boleh dengar pandangan saya, kami mahu terangkan mengenai implikasinya. Kalau fakta berkenaan RNAA boleh patahkan hujah saya, maka boleh teruskan. Berhujahlah dengan saya, sekiranya saya salah, buktikan saya salah,” katanya.

Mengenai kelewatan tren, Abdul Razak kesal apabila masyarakat sering menyalahkan pengurusan KTMB ketika berlaku kelewatan serta kerosakan tren tanpa mengetahui masalah sebenar yang dihadapi mereka.

“Bila keretapi lambat, selalu rosak, orang salahkan KTMB. Sedangkan orang tak tahu, kita punya koc tak cukup. Saya bagi contoh, ETS dari Ipoh ke Padang Besar, dengan jarak lebih 300 km, hanya dibekalkan 10 set sahaja. Berbanding dengan MRT, jarak 51 km, dibekalkan dengan 58 set.

“Orang awam akan melihat MRT lebih baik. Ya, memang, lihat sahaja berapa set yang dibekalkan pada mereka, dan lihat berapa yang dibekalkan kepada kami,” katanya.

Mengulas isu itu, Abdul Razak berkata, masalah berkenaan boleh diatasi dengan membeli set lokomotif sekurang-kurangnya 30 hingga 50 set.