07 Mac 2017

KTMB Bakal Lenyap Jika RNAA Terlaksana: RUM

KTMB bakal lenyap jika RNAA terlaksana: RUM
March 7, 2017 Berita Utama, Utama 0

Perjanjian Akses Rangkaian Kereta Api idea Liow Tiong Lai beri impak negatif, termasuk pemberhentian pekerja, hilang perkataan Melayu

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

KUALA LUMPUR, 8 Jamadilakhir 1438H, Selasa – Perjanjian Akses Rangkaian Kereta Api (RNAA) melalui Perbadanan Aset Keretapi (RAC) bakal menghapuskan sepenuhnya syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) jika ia terlaksana, kata Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja KTMB (RUM), Subramaniam a/l M Ramakrishnan.

Beliau berkata, kewujudan KTMB di tanah air selama 130 tahun ini akan terus lenyap begitu sahaja sekiranya perjanjian ini berjalan dan tiada tindakan daripada kerajaan untuk membanterasnya.

“Kalau Keretapi Tanah Melayu ini pun dah tak ada, nanti dah tak ada perkataan Melayu dalam mana-mana jabatan kerajaan.

“Itu antara apa yang mengkhuatirkan kita. Persoalannya sekarang ialah, apa agenda sebenar Menteri Pengangkutan di sebalik perjanjian ini?,” katanya dalam temubual eksklusif Ismaweb.net, hari ini.

Perjanjian yang merupakan idea cetusan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai itu juga, katanya, bakal memberi impak yang amat negatif terhadap KTMB, termasuk pemberhentian pekerja.

“Bila kita study, ia tak mendatangkan sebarang hasil kepada KTMB dan warga kerja keseluruhannya. Sebaliknya, hanya mengecilkan skop perniagaan di syarikat KTMB. Pekerja juga akan berkurangan iaitu daripada seramai 5,000 pekerja sehingga hanya sekitar 1,000 bahkan mungkini 500 sahaja,” katanya.

RNAA akan memberi hak kepada kerajaan untuk campur tangan dalam operasi KTMB, termasuk menggunakan khidmat luar jabatan dan mewujudkan pelbagai pengendali atau guna sama landasan dengan memberi lesen atau hak kepada syarikat swasta menjalankan kargo.

Tahun lalu, kerajaan menerusi syarikat RM2, Malaysia Rail Link Sdn Bhd, menandatangani perjanjian dengan firma dari China – China Communication Construction Company Ltd (CCCC) – bagi melaksanakan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion.

China juga kini memperluaskan hegemoninya secara tersirat melalui kuasa tentera dan tersurat melalui ekonomi, di mana Malaysia dan Singapura dianggap sebagai sebahagian daripada ‘wilayahnya’ di bawah projek ‘one belt one road’ (Obor).

Di bawah projek Obor inilah China sangat agresif memasarkan teknologi kereta apinya kepada Malaysia dan Singapura serta memberi pinjaman berbilion ringgit bagi melaksanakannya, yang mana laluan kereta api akan berakhir di Beijing.

Sementara itu, Presiden RUM, Abdul Razak Md Hassan juga memaklumkan bahawa pihaknya pernah menulis beberapa pucuk surat kepada Tiong Lai, namun tidak mendapat sebarang maklum balas daripada menteri itu.

Sebaliknya, hanya Ketua Setiausahanya (KSU), Datuk Seri Saripuddin Kassim yang memberi maklum balas.

Namun demikian, tiada apa tindakan yang boleh dilakukan daripada pihak KSU kerana segala keputusan terletak di tangan menteri itu sendiri, kata Abdul Razak.

Beliau juga pernah bertemu Tiong Lai di satu majlis pada tahun lalu dan mengajukan soalan berkenaan perjanjian itu.

Bagaimanapun, Abdul Razak berkata, air muka menteri berkenaan terus berubah apabila mendengar soalannya dan mengelak dengan berjanji untuk mengadakan satu pertemuan lain bagi membincangkan isu berkenaan.

Sehingga kini, Abdul Razak memaklumkan bahawa tiada sebarang khabar berita daripada pihak Tiong Lai dan RUM masih menunggu tarikh pertemuan yang dijanjikan.

KTMB diswastakan sejak 1992, namun ia masih dimiliki sepenuhnya Kerajaan Persekutuan.

Sejak tahun lalu, RUM kerap melakukan bantahan dan desakan mengenai isu RNAA dan RAC bagi menegakkan keadilan bukan sahaja buat KTMB, tetapi juga rakyat Malaysia khususnya pengguna.

[http://www.ismaweb.net/2017/03/ktmb-bakal-lenyap-jika-rnaa-terlaksana-rum/]