KUALA LUMPUR: PAS kesal dengan tindakan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang mengambil tindakan memecat beberapa pekerjanya berhubung tindakan mereka menyertai piket anjuran Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RUM) pada 9 Mei lalu.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi berkata tindakan KTMB itu dilihat tidak demokratik adalah kebebasan pekerja untuk bersuara.
"Kesal dengan tindakan keterlaluan KTMB yang memecat beberapa pekerja hanya kerana mereka menyertai piket.
"Mereka berpiket hanya menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap pengurusan yang ada sekarang, kalau ini tindakan diambil jelas KTMB menutup hak bersuara kepada pekerja mereka," jelasnya kepada Harakahdaily.
Katanya lagi, jika Presiden KTMB, Datuk Elias Kadir tidak boleh ditegur walaupun menunjukkan prestasi yang buruk ia merupakan suatu perkara yang membimbangkan.
"Mengkritik presiden kerana pretasi yang buruk tetapi dikenakan tindakan ia adalah suatu yang malang di dalam agensi tersebut.
"Hak pekerja menyuarakan apa yang mereka bimbangkan, adakah kita nak lihat KTMB hancur baru semua pihak hendak bertindak, itu sudah terlambat," sambung beliau.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut meminta campur tangan dari Menteri Pengangkutan berhubungan tindakan pemecatan itu.
"Saya gesa gugur segera pemecatan tersebut dan kembalikan pekerja-pekerja yang dipecat itu ke tempat mereka bertugas.
"Kementerian perlu campur tangan dalam menyelesaikan konflik ini, apa yang disuarakan pekerja itu perlu diambil perhatian serius," kata beliau lagi.
Sementara itu, hampir 700 anggota bakal berdepan dengan penyingkiran oleh majikan mereka.
Malah, ada di kalangan mereka yang sudah pun dibuang kerja tanpa notis, selain digantung kerja serta diberikan notis tunjuk sebab susulan tindakan mereka menyertai piket anjuran kesatuan tersebut. - HARAKAHDAILY 11/9/2014