11 September 2014

RUM mahu debat Presiden KTMB jelas 9 pekerja dipecat

Oleh: AFIX REDZUAN - Selangorkini

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB (RUM) mahu debat diadakan antara kesatuan itu dengan Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Elias Kadir menjelaskan sebab pemecatan anggotanya daripada syarikat itu.

Presiden RUM, Abdul Razak Md Hassan mendakwa, Elias Kadir merupakan presiden yang mempunyai prestasi buruk dalam sejarah KTMB.

KTMBKatanya, KTMB bertindak ‘membuang kerja tanpa notis’ sembilan orang pekerjanya daripada pemimpin kesatuan itu.

Mereka dibuang terdiri daripada Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung, Penolong Setiausaha Agung, Bendahari Agung dan empat pemimpin cawangan.

“Saya cabar dia, kalau dia hebat sangat sebagai presiden KTMB mari debat secara terbuka berkenaan pembuangan pekerja.

“Saya ingin berdebat dengannya berkenaan apa yang telah dia buat sejak tempoh 2 Mei 2011,” katanya dalam satu sidang media di Grand Pacific Hotel.

Katanya, debat itu juga bagi memberi peluang kepada Elias untuk menjelaskan sumbangannya kepada syarikat sebagai pengerusi KTMB sejak mula berkhidmat pada 2 Mei 2011.

Selain kepimpinan tertinggi RUM, seramai 13 orang pemimpin kesatuan digantung kerja sementara baki 86 orang pegawai cawangan serta ahli persatuan yang menerima notis tunjuk sebab sedang dalam proses menunggu giliran gantung kerja seterusnya dibuang kerja tanpa notis.

Jelas Abdul Razak, tindakan pemecatan yang dibuat ini dilihat bersifat ‘peribadi’ dan membelakangkan undang-undang.

Pembuangan ini dibuat disebabkan tindakan piket dianjurkan RUM pada 9 Mei lalu iaitu menuntut Presiden KTMB, Datuk Elias Kadir ditamatkan perkhidmatan demi menyelamatkan KTMB.

Pada tahun 1962, satu mogok pekerja keretapi besar-besaran pernah dianjurkan pekerja KTMB selama 23 hari namun tiada seorang daripada mereka dibuang kerja malah pekerja ketika itu akhirnya berjaya menerima faedah seperti gaji bulanan atas mogok tersebut.