17 Februari 2017

'Kau usik KTMB, RUM, langkah mayat aku dulu'

Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu (RUM) memberi amaran akan berkempen bagi menewaskan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada pilihan raya umum akan datang, sekiranya Perjanjian Akses Rangkaian Kereta Api (RNAA) diteruskan.

Malah, presidennya, Abdul Razak Md Hassan berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak meminta bantuan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), DAP dan PKR untuk berkempen di parlimen Bentong.

“Saya bukan orang politik, saya tak sertai mana-mana parti politik. Saya akan pergi pada orang sokong saya. Tapi kalau orang hentam saya, saya akan hentam dia.

“Kalau orang nak menjahanamkan kita, kita bagi dia bungkus. Saya dah nekad kalau jadi, saya akan hantar BERSATU, DAP, PKR dan , saya nak jadi penceramah dekat Bentong.

“Waima saya seorang, saya akan jatuhkan Datuk Seri Liow Tiong Lai. Kau usik KTMB, kau usik RUM langkah mayat aku dulu,” kata Abdul Razak dalam sidang media di Pejabat NUBE, di Brickfields Kuala Lumpur, semalam.

RUM sejak setahun lalu membantah penubuhan Perbadanan Aset Kereta Api (RAC) dengan mendakwa ia hanya merugikan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

RNAA yang merupakan perjanjian antara RAC dan KTMB didakwa merupakan cetusan idea Liow yang dikatakan bakal menyebabkan campur tangan dalam operasi KTMB.


Jelas Abdul Razak, jika RNAA dilaksanakan ia akan memberi implikasi sangat buruk kepada KTMB, termasuk kemungkinan pembuangan pekerja.

Justeru, RUM menggesa Liow menunaikan janji untuk berbincang bagi menghentikan RNNA dan sekiranya gagal, pihaknya akan mengadakan piket di Bentong.
“Saya sendiri berusaha untuk bertemu dengan Liow, malah Liow berjanji dengan saya untuk bertemu, sampai ke hari ini, Liow tidak berjumpa dengan kami.

“Kemarahan kami agak tinggi dan kemungkinan kami akan turun di Bentong untuk buat piket supaya dia (Liow) sedar RUM bukan benda main-main, ia melibatkan periuk nasi dan KTMB.

“Kita tak nak buat piket di Kementerian Pengangkutan tetapi kita buat di Bentong,” katanya yang menerima sorakan padu daripada penyokong yang hadir. - MK