KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai digesa menunaikan janjinya bertemu Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RUM).
Presiden RUM, Abdul Razak Md Hassan berkata isu berkaitan perjanjian Railway Network Access Agreement (RNAA) melalui Perbadanan Aset Keretapi (RAC) perlu dibincangkan secara bersama.
“Kementerian Pengangkutan dan menterinya, Tiong Lai membuat kesilapan. Saya sendiri berusaha bertemu beliau, malah Tiong Lai berjanji dengan saya untuk bertemu di satu majlis.
“Tetapi sampai hari ini beliau tidak berjumpa dengan kami,” katanya sewaktu ditemui pemberita di majlis penerangan mengenai pengambilan aset RNAA di Brickfields, hari ini.
RNAA akan memberi hak kepada kerajaan untuk campur tangan dalam operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), termasuk menggunakan khidmat luar jabatan dan mewujudkan pelbagai pengendali atau guna sama landasan dengan memberi lesen atau hak kepada syarikat swasta menjalankan kargo.
KTMB diswastakan sejak 1992, namun ia masih dimiliki sepenuhnya kerajaan persekutuan.
Razak berkata, sekiranya pertemuan dengan Tiong Lai tidak berhasil, beliau tidak teragak-agak melakukan demonstrasi di kawasan Liow iaitu di Bentong, Pahang dan bukannya di Kementerian Pengangkutan.
“Kami punya kemarahan agak tinggi dengan beliau (Tiong Lai) dan kemungkinan kami akan turun di Bentong untuk adakan demonstrasi supaya beliau sedar RUM bukan boleh dibuat main kerana ia melibatkan periuk nasi dan masa depan KTMB.
“Tiong Lai perlu berjumpa kami. Buktikan RNAA itu mempunyai unsur positif dan memberi kepentingan kepada negara. Kalau hujah kami berjaya dipatahkan, maka kami terima perkara itu,” katanya.
Ini bukanlah kali pertama RUM melakukan bantahan dan desakan mengenai isu RNAA dan RAC sebaliknya ia dilakukan sejak lebih setahun lalu.
RUM percaya, perjanjian diantara RAC dan KTMB akan merugikan pekerja malah sejarah KTMB sejak 69 tahun lalu juga akan terkubur.
Selain itu, RUM yakin jika perjanjian RNAA dimeterai, 4,000 kakitangan KTMB di pelbagai peringkat kehilangan sumber pendapatan dan pekerjaan. Ia ekoran proses penstrukturan semula dijalankan.
Jelas Razak, beliau tidak teragak-agak sepentas bersama parti pembangkang seperti DAP, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bagi menjelaskan mengenai bantahan RUM.
“Saya bukan orang politik. Saya tidak sertai mana-mana parti politik. Saya akan sokong mereka yang menyokong saya. Tetapi kalau orang hentam saya, saya akan hentam dia.
“Saya nekad, kalau RNAA diwujudkan, saya akan hantar PPBM, DAP dan PKR termasuk saya jadi penceramah di Bentong. Waima saya seorang, saya akan jatuhkan Tiong Lai. Usik KTMB, usik RUM, langkah mayat saya dulu,” katanya tegas. - FMT