24 Jun 2014

Kenyataan Bersama YB Ahli Parlimen Kluang dan YB Ahli Parlimen Tumpat

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Pakatan Rakyat (PR) hari ini mempertikai keputusan kerajaan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang mengarahkan landasan keretapi Gemas ke Gua Musang ditutup kononnya atas faktor keselamatan.

Dalam kenyataan bersama, Ahli Parlimen DAP Kluang Liew Chin Tong dan Ahli Parlimen PAS Tumpat Datuk Kamarudin Jaafar berkata, kajian semula harus dibuat berhubung arahan itu, kerana ia akan membawa dampak yang amat serius kepada rakyat.

Menurut mereka, masih terdapat cara yang lebih baik daripada menutup terus landasan keretapi, antaranya penjadualan semula perkhidmatan keretapi yang akan membolehkan perkhidmatan keretapi dikekalkan sementara kerja penyelenggaraan dilakukan.

“Berdasarkan dokumen yang telah kami peroleh daripada sumber dalaman, SPAD menggunakan kuasa di bawah Seksyen 106 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 untuk mengarahkan syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menutup landasan sektor timur dari Gemas, Negeri Sembilan ke Gua Musang, Kelantan, berkuatkuasa 27 Jun ini.

“Tempoh penutupan tidak diketahui dan bergantung kepada kerja penyelenggaraan landasan. Ini bermakna kemudahan perkhidmatan keretapi di 14 stesen dan 11 hentian (halt) akan dihentikan. Dengan itu, perkhidmatan empat tren ekspres dan enam tren shuttle untuk penumpang dan banyak tren kargo akan terjejas,” kata mereka.

Chin Tong dan Kamarudin juga bimbang penutupan itu akan membawa mudarat besar kepada rakyat khususnya penduduk Pahang, Terengganu Kelantan menjelang Hari Raya Aidilfitri, hujung Julai nanti.

“Menurut perangkaan rasmi Kementerian Pengangkutan, sebanyak 493,000 penumpang menaiki Ekspress Senandung Wau dan Ekspress Senandung Timuran pada tahun 2013. Sebahagian besar daripada aliran penumpang ini berlaku di musim perayaan.

“Keadaan lalu lintas di Jalan Persekutuan No. 8 (laluan Kuala Lumpur–Raub–Kuala Lipis–Gua Musang–Kota Bahru) adalah sangat sesak menjelang musim perayaan, hingga ada yang mengambil masa 15 jam untuk sampai ke Kota Bahru dari Kuala Lumpur. Jadi, keretapi adalah alternatif cukup penting kepada penduduk Pantai Timur Semenanjung,” ujar mereka.

Kedua-dua pemimpin Pakatan itu turut mengingatkan bahawa penutupan landasan juga akan memberi kesan kepada ratusan pekerja KTMB yang berkhidmat di Pantai Timur Semenanjung ekoran pemotongan elaun.

Pada 18 Jun lalu, Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB (KPPKTMB) menggesa SPAD menarik balik keputusan menutup operasi landasan KTMB sektor Gemas–Gua Musang.

Presidennya, Abdul Razak Md Hassan berkata, KPPKTMB akan mengadakan demonstrasi bantahan di perkarangan ibu pejabat SPAD pada 26 Jun ini jika agensi tersebut enggan menarik balik keputusannya. -Roketkini.com