16 Jun 2014

BANGKIT

Hari ini kita melihat 3 buah syarikat yang terlibat dalam penswastaan iaitu KTMB, TNB dan MAS menghadapi satu situasi yang boleh disebutkan sebagai syarikat yang bermasalah samada dari sudut urus tadbir atau dari sudut untuk merosakkan syarikat atas sebab kepentingan pihak tertentu.

Bezanya TNB mempunyai seorang pemimpin syarikat bertaraf CEO dari kalangan warga TNB yang memahami bahasa TNB, justeru itu TNB tidak mempunyai masalah dari segi urus tadbir malah mendapat sokongan padu dari kepimpinan kesatuan dan Persatuan dalam TNB. 

Namun demikian apakah sebenarnya penswastaan? Adakah hanya untuk memberi ruang dan peluang dalam mencari kesempatan yang ada untuk mencari "kepentingan diri".

Kadang - kadang ia seolah-olah dengan sengaja untuk menjatuhkan syarikat.

MAS sendiri, kalau dilihat seolah-olah ada usaha-usaha mengagalkan sedangkan war - war yang dikeluarkan oleh mana pihak berkenaan kononnya "memulihkan".

Dari sudut sektor swasta pula, banyak masalah yang dihadapi, bukan sahaja dari kos sara hidup, tapi dari kegagalan pematuhan perjanjian bersama, penubuhan Kesatuan Sekerja, pengiktirafan Kesatuan Sekerja dan konvensyen ILO yang tidak diimplementasikan secara sepenuhnya.

Kini banyak suara sumbang telah keluar dari mantan Menteri Kewangan sehingga yang terbaru MP Kepong yang mula secara mukadimahnya ialah mengusik Kesatuan Sekerja.

Persatuan Majikan-majikan sejak dari dulu "consistent", mampu mempengaruhi kerajaan, untuk menolak apa sahaja tuntutan kaum pekerja melalui pindaan Akta, sehingga kita dari golongan pekerja boleh dianggap golongan kecundang.

Kesatuan Sekerja secara umumnya perlukan kekuatan untuk menangkis ungkapan dan serangan dari pihak ini yang kemungkinannya akan merebak satu situasi yang cuba mengancurkan suara Kesatuan Sekerja, kegagalan menghentikan suara - suara ini menjadi satu wabak yang mewujudkan tekanan secara langsung kepada seluruh Kesatuan Sekerja. 

Justeru itu kebangkitan Kesatuan Sekerja di negara ini perlu diperhebatkan demi memastikan Suara Kesatuan Sekerja terus didengari dan dihormati.

Analisis secara rambang ada satu kebangkitan suara kapitalis telah mula digerakkan, suara untuk melemahkan Kesatuan, dengan cara itu mereka mampu membuat apa sahaja kepada pekerja, syarikat, rakyat dan negara.

Maka itu bangkitlah wahai pekerja, kepimpinan kesatuan sekerja agar kita terus berjuang untuk pekerja malah untuk syarikat, rakyat dan negara.

Bersatunya kita akan memberi satu tamparan kepada mereka yang sengaja mengusik Kesatuan Sekerja. 

Kenyataan Rasmi Kesatuan Pekerja2 KTMB