19 Jun 2014

Tutup landasan KTMB Sektor Gemas- Gua Musang, pekerja anjur piket - selangorku.com


Kenyataan Akhbar RUM dalam akhbar Berita Harian
SHAH ALAM, 19 JUN: Arahan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk menutup landasan Gemas – Gua Musang mengundang rasa marah dan bantahan Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB.

Presidennya, Abdul Razak Md Hassan berkata keputusan itu menunjukkan SPAD bertindak gopoh dan hanya memperlihatkan kegagalan semua Lembaga Pengarah KTMB terutamanya Datuk Elias Kadir sebagai Presiden KTMB.

stesen ktmMalah, katanya, tindakan SPAD juga bukti ketidakprihatinan Kerajaan Pusat terhadap golongan berpendapatan rendah, kegagalan kerajaan dalam memberi perkhidmatan pengangkutan kepada rakyat selain kegagalan penswastaan.

“Pihak kesatuan merasa musykil dengan tindakan SPAD, seolah-olah SPAD terbelenggu satu sifat negatif tanpa mengira implikasi yang mungkin berlaku.

“Alternatif pada penyelesaian ini bagi tujuan membaikpulih ialah penutupan landasan boleh dilakukan untuk satu tempoh iaitu empat jam atau secara maksima ialah 12 jam untuk proses pembaikpulihan landasan, baki jam selanjutnya ialah operasi perkhidmatan tren dapat diteruskan.

“Had kelajuan tren kini diturunkan dari 90 kilometer sejam (KM/J) ke 50 KM/J, jadi aspek keselamatan pun dilaksanakan melalui penurunan had kelajuan, malah dibeberapa sektor pun diletakkan papan tanda ‘caution,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, SPAD mengeluarkan arahan bahawa berkuatkuasa pada 27hb Jun 2014, sektor Gemas – Gua Musang akan ditutup operasi sehingga baik pulih dilakukan kerana disebabkan keselamatan.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata pihak kesatuan juga berulang kali membangkitkan isu keselamatan landasan di pantai timur dalam Mesyuarat Keselamatan, Kesihatan dan Pekerjaan Induk yang dipengerusikan Elias selama ini namun tiada sebarang tindakan.

Sehubungan itu, beliau menggesa satu jawapan segera daripada SPAD dalam tempoh tiga hari bekerja untuk menjawab serta memperbetulkan kenyataan untuk menghentikan operasi sepenuhnya kepada memberi satu tempoh jam yang munasabah untuk operasi dan membaikpulih landasan.

“Kegagalan SPAD menjawab surat ini dalam tempoh tiga hari bekerja maka pihak kesatuan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Kerja yang bersidang hari ini memutuskan untuk mengadakan piket di Pekarangan Ibu Pejabat SPAD pada 26 Jun 2014 jam 5 petang,” katanya lagi.

EZY