20/10/2016 3:27pm
Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
KUALA LUMPUR - Majlis Eksekutif Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) mendesak kerajaan supaya memberi lebih banyak perhatian terhadap kebajikan pekerja di syarikat pengangkutan awam itu demi memastikan kelangsungannya pada masa depan.
Presidennya, Abdul Razak Md. Hassan berkata, KTMB kini seolah-olah dianaktirikan oleh kerajaan yang lebih memberi perhatian terhadap Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Mass Rapid Transit Corporation (MRT) sedangkan syarikat pengangkutan yang telah diswastakan itu telah pun wujud sejak tahun 1885.
“KTMB ketika ini berdepan kesukaran dalam merancang pengurusan operasi dan menjana keuntungan setelah aset-aset dan tanah-tanah kami diambil alih oleh Perbadanan Aset Keretapi (RAC).
“Pulangkan kembali aset-aset dan tanah yang sebelum ini telah dirizabkan kepada KTMB kerana tanah dan aset itulah yang boleh membantu kelangsungan KTMB. Tanpa kelangsungan ini, KTMB akan hancur,” katanya dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat KPPKTMB, di sini, hari ini.
Menurut Abdul Razak, rancangan Kementerian Pengangkutan mahu menyerahkan kontrak penyelenggaraan dan baik pulih (MRO) tren kepada syarikat swasta juga akan merugikan KTMB yang turut memiliki kepakaran melakukannya.
“KTMB telah wujud selama 131 tahun, jadi kami mampu membaik pulih segala benda yang ada dalam KTMB seperti lokomotif, koc, landasan mahupun semboyan.
“Kalau beri ruang kepada syarikat luar untuk mengambil alih kepakaran KTMB, maka di mana peranan pekerja-pekerja KTMB? Adakah kami hanya akan menjadi operator yang mengendalikan tren antara bandar sahaja? Adakah kerajaan mahu 5,300 pekerja KTMB menerima nasib yang sama seperti Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS)?” - [ kosmo ]