08 November 2015

Komuter: KTMB masih rugi RM60 juta

MUKADIMAH: PENGERUSI Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Ir. Nawawi Ahmad (gambar) mengikuti komen-komen dari Facebook dan WhatsApp sebaik sahaja pengumuman kadar tambang baharu perkhidmatan komuter KTMB kelmarin.

Kenaikan baharu itu adalah daripada 4 sen satu kilometer dengan maksimum kenaikan RM7.10 bagi satu perjalanan bermula 2 Disember depan. Ini bagi laluan Tanjung Malim ke Sungai Gadut, Negeri Sembilan dan Batu Caves ke Pelabuhan Klang.

“Riuh dalam FB ‘post’ kan kenaikan 4 sen ini, kata mereka pasal apa nak naik sedangkan kerajaan telah kenakan GST (cukai barang dan perkhidmatan).

“Tetapi dengarlah dahulu penjelasan kami (KTMB) mengapa keputusan ini terpaksa dibuat,” kata Ir. Nawawi yang juga Ahli Parlimen Langkawi kepada wartawan Utusan Malaysia ZULKIFLI JALIL dan MOHD. AZRAIE MD. YUSOF di lobi Parlimen, Kuala Lumpur, kelmarin.

Boleh Datuk terangkan tentang operasi harian Komuter?

IR. NAWAWI: Setiap hari, KTMB menyalurkan 253 trip (perjalanan) perkhidmatan komuter dengan kadar penggunaan 140,000 orang. Dalam setahun, 51.1 juta penumpang. Sebanyak 53 stesen komuter beroperasi melibatkan empat aliran dua hala Rawang-KL Sentral sejauh 33 kilometer (km), Batu Caves-KL Sentral (14 km), Pelabuhan Klang-KL Sentral (43 km) dan Sungai Gadut-KL Sentral (82 km).

Sebelum kenaikan ini adakah KTMB sendiri ada mengutarakan cadangan kadar tambang tertentu?

IR. NAWAWI: Ya, sebenarnya KTMB minta kerajaan naikkan tambang komuter sehingga 20 sen kerana kami ketika ini masih menanggung kerugian kira-kira RM110 juta kesan kenaikan 5 sen sebelum tahun 2003.

Namun Kabinet hanya meluluskan kenaikan 15 sen. Dengan naikkan dari 11 ke 15 sen bermakna kerajaan kena beri subsidi 5 sen kerana kos adalah 20 sen satu km.

Dalam keadaan KTMB masih menampung kerugian kira-kira RM60 juta (kesan kenaikan tambang baharu ini), kerajaan pula masih sanggup membiayai (menampungnya) dalam bentuk subsidi.

Mengapa tambang komuter ini perlu dinaikkan?

IR. NAWAWI: Ini bagi menampung kos operasi serta kos penyelenggaraan yang meningkat setiap tahun. Sebenarnya sudah 12 tahun tambang ini tidak naik. Dengan gaji pekerja setiap tahun yang semakin meningkat dan kos penyelenggaraan memang tidak tertanggung, kami fikir ia suatu keperluan. Katakan dulu baiki tayar (komuter) naik sekitar RM100, tetapi kini naik RM200. Alat-alat ganti pula kena import dari China. Keadaan diburukkan dengan nilai mata wang Malaysia turun 30 peratus.

Tetapi bagi saya, kerajaan masih sayangkan masyarakat di bandar dengan hanya 4 sen kenaikan setiap kilometer ini.

Lagipun, dalam pengiraan kos KTMB ini, kita tidak ambil kira macam kenaikan elektrik dan air atau dalam bisnes biasa.

Kalau dilihat dari segi kos perbelanjaan sahaja, pembelian keretapi capital expenditure sebanyak RM1.8 bilion diberi cara geran oleh kerajaan. Ini memberi maksud subsidi pada tiket tanpa mengenakan kos ini dalam harga tiket. Harga tiket hanya guna operational cost opex iaitu gaji, senggaraan kecil, alat ganti, insurans, elektrik dan lain-lain.

Kalau dikira bisnes, tentu kami akan campurkan kos beli dengan kos operasi, tetapi KTMB tidak buat demikian.

Lebih dari itu, untuk menampung kos operasi (rugi RM60 juta ketika ini), kami tidak mahu buang pekerja. Kebajikan 7,000 pekerja KTMB ini keutamaan kami.

Kemungkinan kenaikan tambang ini bertujuan mengekang aliran keluar pekerja ke syarikat keretapi lain?

IR. NAWAWI: Kita pun tahu MRT akan beroperasi tahun hadapan. Dalam industri keretapi ini, banyak jurutera dan pakar berpengalaman diperlukan dan pihak berkenaan sanggup membayar gaji dua kali ganda. Kalau gaji RM10,000 akan menjadi RM20,000 sebulan, macam mana? Akibatnya KTMB akan alami masalah pakar di masa depan.

Justeru, soal gaji menjadi keutamaan kami yang mana pekerja KTMB patut diberi keseimbangan yang sepatutnya.

Jadi, apa rancangan KTMB untuk menampung kos yang meningkat ini?

IR. NAWAWI: Selain pengumuman tambang baharu ini, kami (KTMB) tubuhkan jawatankuasa bersama pengendali MRT, LRT, ERL dan perkhidmatan keretapi elektrik (ETS) beserta Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD) melalui komitmen Unit Pelaksana dan Pengurusan Prestasi (Pemandu) untuk memohon tarif elektrik khas daripada kerajaan bagi pengangkutan tren di negara ini.

Di tahap mana prestasi perkhidmatan komuter setakat ini?

IR. NAWAWI: Sebelum kerajaan membeli 38 set komuter yang baharu ini lima tahun lepas yang diusahakan atas inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ketepatan masa operasi ialah 17 peratus, tetapi kini telah mencapai 98 peratus.

Apa perancangan masa depan KTMB?

IR. NAWAWI: Masalahnya dalam Lembah Klang ini adalah penggunaan trek lama yang berusia 25 tahun, nipis dan tidak stabil. Ini diburukkan lagi dengan kedudukan stesen hentian Komuter ini berada di kawasan banjir disebabkan himpitan pembangunan kawasan sekitarnya dengan pembinaan bangunan baharu. Ini menyebabkan kami terpaksa tambun trek ini ke tempat yang tinggi. Jadi, kerajaan telah luluskan peruntukan untuk melaksanakan pembaharuan dalam tempoh tiga tahun setengah ini.

Kami juga merancang membuat projek hilangkan bottle neck di KL Sentral yang akan dilaksanakan dalam projek RM1.4 bilion tahun depan yang dimasukkan dalam skop kerja. Projek RM10 bilion pula belum ada bajet tetapi kami sudah maklumkan kepada kerajaan untuk buat lencongan (bypass) dari Serendah ke Pelabuhan Klang dan dari Pelabuhan Klang ke selatan demi untuk memberi laluan lancar pada aliran kargo antara utara dan selatan tanpa melalui KL Sentral seperti sekarang. Sebab itu ada penumpang merungut mengapa komuter tiba-tiba kena berhenti. Ini adalah kerana bottle neck sedia ada yang terpaksa menunggu keretapi lain lalu.

Projek RM10 bilion lencongan itu sangat perlu di masa hadapan jika hendak lancarkan urusan kargo dalam negara antara Thailand, Malaysia, Singapura dan juga utara seperti Myanmar, Laos dan Vietnam kerana bottle neck yang ada di tengah bandar raya Kuala Lumpur ini hanya memberi window (tingkap) 4 jam operasi kargo iaitu pukul 1 pagi hingga 5 pagi. Selepas itu tren penumpang akan menggunakannya. Walaupun sudah ada laluan yang lancar dari Padang Besar ke Kuala Lumpur dengan trek berkembar tetapi masih ada kekangan untuk kelancaran kargo dalam bandar raya Kuala Lumpur.

sumber: Utusan