05 Januari 2014

KENYATAAN RASMI SEMPENA TAHUN BARU 2014 KESATUAN PEKERJA-PEKERJA KTMB


Asalamualaikum dan Salam Sejahtera


Tahun 2013 telah berlalu dan tahun 2014 pula muncul, maka usia kita pun makin meningkat, tahun yang lampau banyak memberi pengertian, setiap yang berlalu pasti mempunyai nostalgia, namun perjalanan yang lepas memberi kita pengalaman dan pengajaran yang menjadikan kita bertambah dewasa untuk terus memacu kehidupan pada masa hadapan. Jangan toleh kebelakang, terus bergerak kehadapan, namun dalam bergerak kehadapan jadikan masa silam itu pengalaman dan pengajaran, kerana sejarah tidak boleh dipadamkan.

RUM

Tahun 2013, telah berakhir dengan cemerlang, ahli-ahli RUM telah menikmati pelbagai faedah melalui Perjanjian Bersama yang ke Tujuh (7) dengan menikmati 13%, faedah yang paling tinggi dalam sejarah Perjanjian Bersama, usaha-usaha ini adalah berdasarkan sokongan ahli-ahli yang tidak berbelah bagi kepada kepimpinan RUM, malah semangat yang kental berteraskan perjuangan Kesatuan Sekerja terus dapat diterapkan, inilah kekuatan RUM. Selain faedah pelarasan gaji kadar faedah elaun-elaun juga berjaya ditingkatkan malah kewujudan elaun-elaun baru yang diperjuangkan oleh RUM semenjak Perjanjian Bersama yang ke 2 juga berjaya dinikmati oleh ahli-ahli, kejayaan ini berkat kesabaran ahli-ahli, kerana setiap tuntutan tidak datang bergolek, inilah semangat perjuangan, tidak pernah mengenal erti kalah, sebaliknya sentiasa berusaha untuk mencari dan memberi kebaikan kepada ahli-ahli. Tahun ini juga pekerja-pekerja KTMB menikmati Ex-Gratia pada Hari Raya malah yang terbaru akan dinikmati awal Januari 2014, keseluruhan berjumlah sebulan gaji dan minima RM 1000.00, semua ini adalah usaha-usaha yang dilakukan oleh RUM untuk memberi faedah yang terbaik kepada ahli-ahlinya, kerana kita menyedari bahawa rata-rata ahli-ahli RUM adalah golongan berpendapatan rendah. Selain dari itu setiap masalah yang berbangkit juga berjaya diselesaikan samada penyelesaian itu diperingkat cawangan mahupun diperingkat ibu pejabat, dari aspek keselamatan pekerja sehingga dari kes-kes pertuduhan di bawah siasatan dalaman di selesaikan dengan cara yang baik dan memuaskan, semua ini dilakukan oleh pegawai-pegawai RUM yang sungguh berdedikasi walaupun kadang kala pegawai-pegawai RUM diugut dengan pelbagai cara. Perjuangan tidak pernah merasa gentar atau takut, kita tetap berjuang atas prinsip perjuangan Kesatuan Sekerja, kerana kita yakin Kesatuan Sekerja sahaja yang mampu membela nasib kaum pekerja.


KTMB

Dalam tempoh tahun-tahun yang lampau yang berakhir tahun 2013, KTMB boleh dilihat sebagai sebuah organisasi yang hanya semata-mata memberi perkhidmatan sosial kepada rakyat, KTMB masih tidak mampu berdikari sebagai sebuah organisasi korporat yang berorientasikan keuntungan, dijangka tahun 2013 kerugian ialah RM 220 juta, kerugian besar sentiasa berlaku tahun demi tahun. Harga tambang pengangkutan penumpang seperti Intercity, Komuter dan ETS tidak boleh dinaikkan sebab dikawal oleh kerajaan, kita terus memberi subsidi sekurang-kurang RM 1 bagi setiap penumpang, justeru itu kita tidak dapat mengimbangi pendapatan sebaliknya peningkatan kerugian terus meningkat.

Syukur, Alhamdulillah, harga pengangkutan Kargo telah dapat dinaikkan berkuatkuasa 1 Januari 2014, pihak kerajaan telah pun meluluskan kenaikan harga kargo, dijangka perolehan pendapatan berdasarkan peningkatan harga kargo melebihi RM 100 juta malah mungkin lebih, sekurang-kurangnya pendapatan KTMB dapat ditingkatkan, walaupun timbul runggutan dari pelanggan, tapi harus disedari bahawa tidak selama-lamanya KTMB perlu memberi subsidi kepada pelanggan seperti operator Kargo, keuntungan perlu disamaratakan bukan hanya sebelah pihak.

Dalam tempoh tahun 2013, banyak kelemahan telah berlaku, kegagalan Datuk Presiden KTMB memberi cahaya kepada, KTMB terus merudum tanpa ada pemulihan, avaibility lokomotif menurun, lokomotif, koc, pgc kebanyakannya “overdue”, landasan boleh disifatkan kurang selamat, perlantikan consultant yang tidak memberi sebarang faedah kepada KTMB, usaha-usaha yang dilakukan oleh Datuk Presiden KTMB bukan bertambah baik sebaliknya bertambah buruk, perbandingan dengan mantan-mantan Presiden KTMB dengan Datuk Presiden KTMB hanya boleh diberi dari segi urus tadbir sebanyak 2 bintang berbanding 5 bintang yang ada. Ramai expertise KTMB telah meninggalkan KTMB kerana tidak tahan dengan kerenah Datuk Presiden KTMB. Tindakan sedemikian akan menjerumuskan KTMB ke kancah kehancuran serta memberi ruang seluas-luasnya kepada MMC untuk mengambil alih KTMB.

Presiden KTMB kini seolah-olah hilang arah tujuan, tiada sebarang peningkatan, tiada sebarang idea untuk menambahbaikan kecuali menaikan harga tambang kargo.

PEMEGANG SAHAM (KEMENTERIAN KEWANGAN DIPERBADANKAN)

Rakaman terima kasih kepada YAB Dato Seri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan dan semua pegawai-pegawai kanan Kementerian Kewangan yang banyak membantu RUM, ahli-ahlinya dan seluruh warga KTMB kerana memperkenankan permohonan RUM untuk mendapatkan faedah yang lebih baik melalui proses Perjanjian Bersama serta kelulusan Ex-Gratia. Bagi pihak seluruh Warga RUM dan KTMB kami amat menghargai kerana setiap tuntutan kita sehingga hari ini dipenuhi, malah permasalahan yang wujud diantara Pengurusan KTMB dan RUM dengan campur tangan YAB Dato Seri Perdana Menteri berjaya diselesaikan. 

Rakaman terima kasih kepada Kementerian Pengangkutan, Suruhanjaya Perkhidmatan Darat yang sentiasa memberi kerjasama serta menjalinkan hubungan yang baik dengan RUM, mudah-mudahan hubungan ini terus terjalin untuk memberi kesejahteraan kepada pekerja khususnya KTMB.

Pihak RUM juga mengharapkan satu perlantikan baru, bagi jawatan Presiden KTMB bagi memastikan KTMB dipulihkan, malah mengharapkan tindakan segera dari Kementerian Kewangan agar KTMB dapat dipulihkan serta memperuntukkan suntikan kewangan bagi memastikan KTMB mendapat sumber kewangan yang mencukupi untuk membaikpulih KTMB secara keseluruhan.

MMC

RUM akan terus memberi tentangan untuk menolak MMC atau mana-mana pihak mengambilalih KTMB, tentangan selaras dengan keputusan Persidangan Perwakilan Tiga (3) Tahun Sekali, kita mengharapkan YAB Dato Seri Perdana Menteri membuat keputusan segera agar menolak MMC mengambilalih KTMB, keputusan segara amat dialu-alukan, kerana Dato Seri Perdana Menteri pernah membuat keputusan segera mengenai syarikat penerbangan MAS, kenapa tidak dengan KTMB?

MTUC

2013 telah berakhir, MTUC penuh dengan asam garam, MTUC dulunya merudum, hingga pihak-pihak yang berkepentingan mengambil kesempatan atas kelemahan MTUC, maka jadilah pekerja-pekerja, pemimpin-pemimpin Kesatuan teraniaya, ada pekerja yang dibuang kerja, ada pemimpin ditamatkan perkhidmatan, gaji minima yang tidak adil, contract of labour diletakkan pada kuasa menteri, undang-undang hanya memihak kepada majikan, MEF menunjukan taring, pekerja asing yang mengambilalih kerja-kerja tempatan, outsourcing dan pelbagai isu yang melibatkan kaum pekerja menjadi bertambah parah, konveksyen ILO diikitiraf oleh kerajaan tetapi tidak digunakan keseluruhan dan pelbagai isu lagi.

Kini MTUC mempunyai kepimpinan baru, semuanya diyakini dan berintergriti, semua diharapkan mempunyai haluan untuk memperjuangkan nasib kaum pekerja dinegara ini yang lebih 11juta pekerja. Haluan perlu digerakan bagi memastikan nasib pekerja dinegara ini terbela, tidak cukup dengan kekuatan hanya bersuara di Parlimen, kerana ianya bukan jaminan untuk memberi satu kejayaan, kejayaan sebenarnya ialah melalui kekuatan, kekuatan untuk memberi amaran jangan memperkecilkan kaum pekerja, gerakan perlu digerakan bukan sahaja kepada kepimpinan Kesatuan Sekerja tetapi ke akar umbi kaum pekerja, menyingkap kelemahan, memperbetulkan kelemahan, memperbaiki serta mengukuhkan kekuatan maka akan lahirkan satu gerakan Kesatuan Sekerja yang disegani dan dihormati. Tiga (3) tahun satu tempoh yang panjang, perbaiki dan perbetulkan, jangan hanya berbicara tapi tindakan dalam membentuk kekuatan, pastikan nasib pekerja terbela buktikan keyakinan yang diberi diterjemahkan dengan pembuktian bahawa pekerja dinegara ini terbela tanpa ada sikap berkepentingan diri tapi membakar diri, selesaikan isu yang ada, “time frame” telah pun diperkatakan dalam Persidangan.

Kerajaan Memerintah

Kerajaan yang memerintah perlu melihat kehendak kaum pekerja melihat masalah yang dihadapi oleh kaum pekerja bukannya membebankan kaum pekerja, memberi banyak imbuhan bukan mencerminkan sesuatu kebaikan walaupun digambarkan ianya kebaikan, tapi melihat sedalam-dalamnya apa kehendak pekerja, kos sara hidup adalah musuh utama kaum pekerja, membebankan pekerja akan menimbulkan rasa kurang senang, rasa tidak puas hati, serta boleh mewujudkan rasa kemarahan, wang atau upah yang dibawa pulang bukan sahaja tidak mencukupi sebaliknya kini menimbulkan bebanan hidup kepada pekerja, kerajaan perlu memikirkan sesuatu yang lebih baik serta mengimbangi kedudukan kewangan kaum pekerja, menarik subsidi bukan satu cara yang bijak, menaikan harga barang satu langkah yang memberi tekanan kepada kaum pekerja, suka atau tidak kerajaan yang memerintah perlu memikirkan satu cara memberi kebaikan kepada kaum pekerja bukannya memperkatakan bahawa tiada aduan dari mana-mana pihak tentang kenaikan harga, belajarlah jadi pekerja yang berpendapatan RM 900.00, maka kita akan tahu betapa sukarnya satu kehidupan seorang pekerja.

Kerajaan juga perlu mengimbangi kehendak Kesatuan dan majikan, bukannya mendengar bulat-bulat kehendak majikan, berlaku adil antara majikan dengan pekerja, keuntungan bukan semata-mata tujuan, khidmat sosial perlu diberi tumpuan, sikap kapitalis perlu disingkirkan, kerajaan perlu memberi tekanan kepada majikan, utamakan khidmat sosial bagi memastikan nasib pekerja tidak teraniaya malah terbela, tekanan dari kerajaan kepada majikan-majikan yang bersikap kapitalis akan memberi kebaikan kepada pekerja kerana pekerja perlu satu kehidupan yang baik, kehidupan yang baik akan memakmurkan negara.

Tahun 2014

Harapan setinggi gunung, harapan untuk melihat nasib pekerja terbela, harapan untuk mencari jalan penyelesaian yang boleh memberi keuntungan semua pihak, harapan agar kehidupan bertambah baik bagi memastikan pekerja dan keluarga bahagia, negara makmur aman sentiasa.

Semua itu harapan, kata orang buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali, harapan kita sentiasa bersangka baik, tapi kadang kala perlu bersangka buruk, agar tidak terleka dengan gula-gula yang manis, bersikap berjaga-jaga akan sentiasa mengingatkan kita bahawa setiap masa kita perlu berhati sentiasa, berhati-hati menyedarkan kita agar setiap yang berlaku dipersekitaran kita, kita sedar dan boleh bertindak bila-bila masa.

Kita boleh tunduk, tunduk kita untuk satu tempoh, kita boleh beralah, beralah kita untuk satu tempoh, kita boleh bertegas, bertegas kita untuk satu tempoh, kita boleh bersabar, bersabar untuk kita satu tempoh, kita boleh jadi agresif, kalau semua tempoh-tempoh itu sudah tamat, maka hati-hati dengan tempoh, tempoh memainkan peranan penting, tempoh menjadikan kesatuan sekerja bertindak agresif, tempoh kita untuk memastikan kita tidak teraniaya, kerana kita tidak boleh dibeli, nawaitu kita adalah memperjuangkan nasib kaum pekerja khususnya ahli-ahli RUM, jangan main-main dengan kita kerana kita adalah KESATUAN SEKERJA!

Kepercayaan yang diberi mesti dibalas dengan kepercayaan, kepercayaan yang dinodai maka lupakan sahaja kepercayaan, kerana kehilangan kepada kepercayaan membuatkan kita mengenali apa itu kepercayaan. Jadi, hati-hati ungkapan kepercayaan, kerana kebanyakan kepercayaan ibarat status “WAYANG GAMBAR” wayang yang mengelapkan kita kepada keseronokan atau mengembirakan kita untuk seketika.

RUM sebagai Kesatuan Sekerja bukan sekadar meminta, tetapi kita juga memberi idea untuk pembangunan KTMB, harapan kita untuk memastikan KTMB dipulihkan, semoga cadangan RUM iaitu Multiple Operator terlaksana, andai tidak pastikan kerajaan memperuntukan suntikan kewangan yang mencukupi bagi melaksanakan sistem kargo yang terbaik kerana ianya mampu memperkembangkan pencapaian perolehan pendapatan untuk KTMB malah meningkatkan ekonomi negara.

Akhirkata, semoga tahun baru ini, akan memberi satu cahaya kehidupan buat kita sebagai seorang pekerja, kehidupan dan kebahagian kita sebagai seorang pekerja, berjuang kita sebagai seorang pekerja untuk keluarga kita keluarga pekerja, tahun 2014 bukan tahun getir, andai kita bijak mengolah, tapi akan menjadi getir kalau kita gagal mengolah, kerana semua terletak kepada kita. Tingkatkan tahap kekuatan, tingkatkan tahap perjuangan, tingkatkan segala kekuatan dan perjuangan kita bagi memastikan nasib kita terus terpelihara tanpa ada rasa gentar dan takut, kita berjuang demi kaum pekerja, kita pastikan kaum pekerja terus berjaya tanpa ada kegagalan.

Semoga perjuangan kita diberkati, semoga kita dilindungi, semoga kita sentiasa di rahmati, hidup kita, mati kita kerana ALLAH SWT.

Syukur Alhamdulillah, kita berjaya meniti tahun 2013 dengan jayanya, kita hanya berusaha, segala-galanya ditentukan oleh Allah Swt. Syukur Alhamdulillah.

CABARAN 2014 MENANTI DIHADAPAN,
PERJUANGAN TIADA HENTIAN,
BERSATU ITU KEKUATAN,
KEJAYAAN PASTI DITANGAN.
IN SYA ALLAH

*SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2014*

ABDUL RAZAK MD HASSAN
PRESIDEN
BAGI PIHAK MAJLIS EKSEKUTIF
KESATUAN PEKERJA-PEKERJA KTMB