18 Januari 2014

PENJAWAT AWAM JAWATAN TERTINGGI DARI KACAMATA RUM

Dalam pemerhatian RUM, banyak masalah yang wujud dikalangan pekerja mahupun rakyat adalah berpunca dari mereka yang diamanahkan mengambil jalan mudah atau kurang mahir dalam menangani isu atau tidak dilatih dalam menyelesaikan masalah.

Dari sudut ini sifat kepimpinan dikalangan pegawai tertinggi kerajaan tidak sampai ditahap dikehendaki iaitu dari aspek "PROBLEM SOLVING", ini menjadikan masalah yang dihadapi oleh kerajaan dalam menangani masalah pekerja mahupun rakyat.

Ada beberapa contoh seperti di Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Dalam Negeri Koperasi & Kepenggunaan, dan banyak kementerian lagi tidak mahu berusaha bersungguh-sungguh dalam menangani sekiranya ada isu, ada pihak-pihak mencari alasan dengan menunding jari pada kementerian lain, kononnya dengan memberi alasan begini maka ianya bukan masalah kementerian yang berkenaan, ada pula terus mengambil keputusan terus dirujuk kepada Menteri untuk mendapat persetujuan ke Mahkamah dan bermacam-macam lagi perkara yang seolah-olah mereka ini sekadar lepas tangan dan ambil jalan mudah sehingga timbul rungutan pekerja dan rakyat.


Satu lagi ialah penguatkuasaan dan pemantauan, kebiasaannya ialah hanya hangat-hangat tahi ayam, bila timbul isu baru nak bergerak, seolah-olah tiada perancangan rapi dalam menyusun jadual bagi menguatkuasakan undang-undang seperti kenaikan harga barang, contoh seperti kenyataan akhbar dalam Utusan Malaysia hari ini 18.1.2014, yang menyatakan kenaikan harga barang disebabkan pemborong serta pihak-pihak yang ingin buat kerajaan bermasalah, adakah ini juga satu alasan? kenapa bila rakyat bising baru arahan dibuat untuk turun padang, mana dia prosedur pemantauan dan penguatkuasaan? sepatutnya kita bergerak lebih awal, bagi memastikan tiada sebarang kewujudan mana-mana pihak untuk mengambil kesempatan, berdasarkan pengalaman, setiap kali kenaikan harga minyak petrol atau pengurangan subsidi atau kenaikan gaji penjawat awam pasti ada kenaikan harga barang, mustahilkan pihak yang bertanggungjawab tidak sedar perkara ini, tak kan tiada sebarang kajian mengenai implikasi berdasarkan perkara di atas, tak kan tiada persediaan pemantauan dan persediaan penguatkuasaan.

Berdasarkan pengalaman RUM, penjawat awam yang berpangkat tinggi kini ramai telah bersara lebih pro aktif malah lebih kehadapan dalam penyelesaian masalah, mereka benar-benar bertanggungjawab malah memberi komitmen tinggi dalam melaksanakan tugas, sikap seperti inilah yang kita mahu bagi memastikan kelicinan pentadbiran kerajaan, malah mampu mengurangkan rungutan pekerja dan rakyat.

Menteri yang mana berkenaan yang dipertanggungjawabkan terhadap mana-mana kementerian perlu menekan dan memastikan masalah-masalah seperti ini dapat diatasi bagi mengelakkan rungutan pekerja mahupun rakyat dari berlarutan, turun padang serta mendekatkan diri dengan rakyat pasti dapat mendengar keluhan rakyat, kadang-kadang jangan percaya sangat apa yang diperkatakan oleh pegawai-pegawai kerajaan ini, sebaliknya kaji dengan teliti baru buat keputusan, setidak-tidaknya minta juga pandangan dari pelbagai pihak, rumusan mestilah tepat dan memuaskan, andai tidak masalah akan terus berbangkit.

Namun bukan semua tapi masih ada lagi mereka yang benar-benar memberi komitmen, cuma yang kurang memberi komitmen ini perlu diatasi dengan segera. Tindakan segera adalah sangat perlu bagi memastikan kelicinan pentadbiran kerajaan, sekiranya ia tidak diatasi segera, maka kerajaan akan terus menghadapi masalah kerana rakyat kini bijak dalam menilai setiap tindakan. Pasti setiap masalah ada penyelesaian, sejauh mana penyelesaian itu, terserah pada mereka yang telah dipertanggungjawabkan, amanah yang diberi perlu dipikul sepenuh hati, bukan sahaja rakyat yang mempersoalkan, tapi di kemudian hari juga bakal dipersoalkan.

Kenyataan Rasmi Kesatuan Pekerja2 KTMB